Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR nafi buat persiapan pilihan raya Perak
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 11:32 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya di Negeri Perak.

Merujuk laporan media atas talian dan media sosial, semalam Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana pihak media atau orang ramai perlu merujuk kepada suruhanjaya itu bagi memastikan kesilapan maklumat tidak berlaku.

“SPR ingin menasihati mana-mana pihak media atau orang ramai agar dapat merujuk kepada pihak SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada pihak awam,” kata Azhar dalam satu kenyataan.

Semalam, laporan spekulasi yang menyebut bahawa pilihan raya negeri Perak bakal diadakan itu turut menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

“SPR ingin menjelaskan bahawa lawatan ke sekolah-sekolah merupakan urusan semakan yang dijalankan oleh SPR dari masa ke semasa.

“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai. Pelaksanaan urusan ini adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958,” kata Azhar.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan Polis Perak akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya pilihan raya negeri diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, bagaimanapun pihaknya tidak nampak kemungkinan PRN akan berlaku dalam masa terdekat.

"Kita tak nampak Adun DAP keluar parti, mereka cuma letak jawatan dalam parti tetapi masih sebagai Adun Malim Nawar (Leong Cheok Keng) dan Adun Pokok Assam (Leow Thye Yih)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, hari ini.

Razarudin diminta mengulas mengenai berita tular kononnya PRN Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan beberapa Adun dari DAP akan keluar parti dan menjadi Bebas.

Komposisi DUN Perak ketika ini terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi DAP (18), Amanah (6), PKR (4), Bersatu (2), BN (25), PAS (3) dan Bebas (1).

Pada 11 September lalu, dua Adun Perak dari DAP itu mengumumkan peletakan jawatan dalam jawatankuasa DAP negeri berikutan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih masing-masing meletakkan jawatan sebagai Timbalan Bendahari dan Penolong Setiausaha Organisasi peringkat DAP Perak sebagai tanda protes kepada Nga.

Menurut Leong, mereka tidak puas hati dengan kenyataan Nga bahawa kedudukan exco, Paul Yong Choo Kiong yang kini berdepan tuduhan rogol di mahkamah, akan dibincangkan pada peringkat PH tanpa diberitahu kepada jawatankuasa negeri DAP terlebih dahulu.

Lihat Komen
ADS