Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengumuman terperinci berhubung pengambilan tanah Kampung Baru akan dibuat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis ini, kata Menteri Wilayah Persekutan Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, beliau telah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta anggota Lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berhubung isu berkenaan.

“Secara umumnya dalam pertemuan saya dengan anggota Lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, saya dapati mereka semua kelihatan begitu positif, begitu seronok dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Ramai menggambarkan satu sikap yang optimistik, yang positif dan optimis bahawa kali ini Insya-Allah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan akan dapat mencapai kejayaan.

"Dari segi perinciannya, (tunggu) hari Khamis nanti,” katanya pada sidang media selepas perbarisan jubli emas sambutan Hari Penguat Kuasa DBKL ke-50 di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada pengumuman itu adalah berita gembira dan penambahbaikan daripada pengumuman sebelum ini, Khalid hanya menjawab: “Ia (pengumuman) mestilah tambah baik, kalau tak tambah baik tak payahlah saya buat (sidang media)... Insya-Allah”.

Pada 21 Sept lepas, Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi dalam pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik petempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Pada 6 Okt lepas, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain.

Beliau berkata agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS