mk-logo
Berita
Zakir Naik tidak pernah mohon kerakyatan Malaysia - KDN
Diterbitkan:  Oct 22, 2019 3:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yasin menjelaskan pendakwah Islam tersohor dari India, Dr Zakir Naik tidak pernah memohon kerakyatan sebagai warganegara Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) dalam sesi Dewan Rakyat yang berlangsung semalam.

Dalam soalannya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, Pang memohon penjelasan daripada pihak KDN berhubung pemeberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada Dr Zakir yang menurutnya diberikan dengan begitu mudah.

Bagaimanapun, jawapan bertulis dari Muhyiddin itu gagal untuk menjelaskan sama ada status Pemastautin Tetap yang diberikan kepada Zakir diberikan dengan cepat atau sebaliknya.

Pihak KDN dalam jawapannya, turut menjelaskan pemberian kad MyPR kepada Zakir juga dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengikut subperaturan 5(3)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Bagi mendapatkan MyPR, pemohon perlu mempunyai pasport yang sah dan mempunyai Permit Masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"JPN telah mengeluarkan MyPR kepada Zakir Abdul Karim Naik atau lebih dikenali umum sebagai Dr Zakir Naik pada 21 April 2016," kata kenyataan balas tersebut sambil menegaskan pemberian tersebut telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Berhubung dengan isu permohonan kewarganegaraan Malaysia oleh Zakir Naik, hasil semakan mendapati bahawa tiada rekod permohonan kewarganegaraan daripada individu tersebut dalam pangkalan data JPN," balas kenyataan tersebut bagi menjawab soalan kedua yang dilontarkan oleh Pang.

Pang dalam bahagian kedua soalannya bertanya sama ada permohonan Dr Zakir untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia akan dibenarkan memandangkan masih terdapat 12,000 permohonan yang masih belum diselesaikan.

Lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Dr Zakir selepas beliau menyampaikan syarahannya di Kota Bharu pada 11 Ogos yang lalu.

Dalam ucapannya, Dr Zakir mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih percaya kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia juga turut mendakwa kaum Cina di Malaysia sebagai "tetamu" di negara ini dan meminta mereka untuk pulang terlebih dahulu sebelum dia dihantar pulang ke negara asalnya, India bagi menghadapi pertuduhan jenayah di sana.

Di India, Dr Zakir dilaporkan dikehendaki atas dakwaan kesalahan penggubahan wang haram.

Putrajaya bagaimanapun enggan menghantar pulang pendakwah itu walaupun terdapat permintaan dari India dengan alasan Dr Zakir tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di sana.

Mahathir pada masa yang sama berpendirian Malaysia mengalu-alukan sekiranya negara lain sanggup untuk menerima Dr Zakir di negara mereka.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini