Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak mempunyai kawalan ke atas dan SRC International dan oleh itu tidak boleh dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang pecah amanah (CBT).

Peguambela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahan lisannya semasa perbicaraan jenayah SRC International membabitkan Najib (di atas), berkata mereka yang mempunyai kawalan ke atas wang syarikat itu adalah pengarah dan penandatangan akaun bank syarikat itu.

Justeru, Najib, kata peguam itu, bukan salah seorang daripada mereka.

Memetik Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Shafee memberitahu mahkamah bahawa undang-undang CBT itu menyebut kesalahan dilakukan oleh seseorang yang diamanahkan dengan harta atau dengan apa-apa kekuasaan ke atas harta itu.

"Jadi dalam konteks kita berurusan dengan wang SRC, mereka yang mendapat kepercayaan dana SRC adalah pengarah yang menandatangani akaun syarikat tersebut,” katanya.

Menurut Shafee, Najib juga tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan mana-mana aset SRC International ataupun mampu melakukan apa-apa mengenainya.

Shafee menggulung hujah pembelaan pada akhir kes pendakwaan, yang merangkumi sejumlah 58 hari perbicaraan SRC International.

Ini adalah peringkat terakhir dalam perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum keputusan diibuat sama ada Najib akan dipanggil untuk membela dirinya.

Nazlan menetapkan 11 November ini untuk menyampaikan keputusannya.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu kesalahan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS