Malaysiakini BERITA

Umno masih boleh dilantik sebagai TMB II Kelantan, kata Husam

N Faizal Ghazali

Diterbitkan

Masih ada ruang untuk PAS memberi tempat kepada Umno dalam kerajaan Kelantan walaupun salah seorang pemimpin mereka menjelaskan semua jawatan exco di negeri itu sudah penuh.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, berkata jika PAS serius mahu memberi tempat kepada rakan mereka, salah seorang wakil rakyat Umno boleh dilantik sebagai timbalan menteri besar kedua.

Beliau yang juga anggota Dewan Negara menjelaskan, jawatan timbalan itu pernah diwujudkan ketika PAS bekerjasama dengan Semangat 46 dulu.

Selain itu, kata Husam, di sebalik kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa jawatan exco Kelantan sudah penuh, masih banyak jawatan lain boleh diisi oleh pemimpin Umno.

"Misalnya jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri , jawatan dalam majlis perbandaran atau majlis daerah.

"Sebelum ini juga kita pernah ada dua jawatan timbalan menteri besar, maka tidak pelik kalau Kelantan wujudkan lagi sekali.

"Saya berharap kalau jawatan exco dah penuh, jawatan timbalan menteri besar (kedua) masih boleh diberi kepada Umno," katanya kepada media selepas merasmikan Bengkel Kepimpinan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Kelantan Utara 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Nak haramkan lesen judi

PAS dan Umno memeterai piagam bersama sebagai menandakan kedua-dua parti pembangkang itu bekerjasama secara rasmi selepas berpuluh tahun berseteru.

Hubungan baik itu kemudian membuka ruang kepada terbinanya kerajaan negeri melalui gabungan kedua-dua parti di Kelantan dan Terengganu - yang dikuasai PAS - serta Perlis dan Pahang - yang ditadbir Umno.

Hasrat itu ada disuarakan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa berucap di majlis yang turut dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun pada 29 Okt lalu Tuan Ibrahim berkata, semua jawatan exco di Kelantan dan Terengganu sudah diisi.


Baca Zahid minta PAS 'fikir-fikirkan' serap Umno dalam k'jaan T'ganu


Pada masa sama, anggota parlimen Kubang Kerian itu menyatakan PAS parti itu ada menerima pelawaan daripada Umno Perlis untuk menyertai kerajaan negeri itu namun menolaknya.

Husam berkata, PAS dan Umno sepatutnya melihat isu perkongsian jawatan dalam kerajaan negeri secara lebih meluas dan bukan sekadar kedudukan sebagai exco negeri semata-mata.

Beliau yang juga naib presiden Amanah berkata, rakyat juga teruja untuk melihat wakil rakyat PAS mengisi jawatan exco Pahang memandangkan kedudukan pusat perjudian di Genting Highlands sekarang ini.

"Dulu PAS kata mereka nak haramkan lesen perjudian kalau menjadi kerajaan.

"Jadi kalau PAS masuk dalam kerajaan Pahang, kita nak tengok apa pendirian PAS terhadap perjudian di Genting Highlands," katanya.