Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Islamik Kelantan tak hilang dengan tiadanya Husam

PAS Kelantan mengingatkan Husam Musa, pengerusi PH Kelantan itu adalah antara orang yang bertanggungjawab merangka dan melaksanakan dasar kerajaan negeri yang kini dikritiknya sebagai "syok sendiri".

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah, berkata 1990 - iaitu apabila PAS mengambil alih pemerintahan - dasar Membangun Bersama Islam diletakkan sebagai asas dalam pentadbiran negeri terbabit.

"Adakah ciri-ciri Islam Kelantan ini hilang hanya kerana Husam tiada lagi dalam kerajaan Kelantan?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohd Ariff sebelum itu diminta mengulas kenyataan Husam mengenai kedudukan kerajaan Kelantan ketika ini yang dianggapnya "syok sendiri".

Husam yang kini dilantik menjadi anggota Dewan Negara berkata, jika diperhalusi keadaan semasa di Kelantan, tiada apa-apa pun yang boleh dibanggakan bagi menunjukkan ia lebih Islamik berbanding negeri lain.

Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan turut membangkitkan persoalan mengenai asas apa yang dirujuk untuk membuat PAS yakin bahawa negeri itu Islamik.

Letak nilai halal, haram

"Apa KPI (indeks petunjuk prestasi) untuk Kelantan? Kalau lombong haram wujud di Kelantan, ini tidak Islamik. Kalau pembalakan berleluasa di Kelantan, ini tidak Islamik.

"Kalau anak-anak syarikat kerajaan negeri mengalami kerugian kerana kegagalan urus tadbir, ini juga tidak Islamik.

"Kalau negeri lain lebih bersih tetapi Kelantan tak bersih, bermakna dari segi KPI itu, tidak Islamik.

"Cuma kita syok sendiri, kita kata kitalah paling Islamik," ujarnya.

Mohd Ariff berkata sejak dahulu lagi Kelantan terkenal dengan gelaran negeri serambi Mekah dan asas gelaran tersebut - yang didakwanya tidak bolehdipertikaikan - adalah kerana banyak program keilmuan dan agama dihidupkan untuk rakyat.

Katanya, hasil daripada meletakkan Islam sebagai dasar, lebih 100 pembaharuan diperkenalkan oleh Kelantan yang suatu ketika dahulu dibanggakan sendiri oleh Husam.

"Mungkin beliau sudap lupa di Kelantan tiada kedai nombor ekor, tiada kedai arak berleluasa, hari Jumaat dijadikan hari cuti dan hari ilmu.

"Di Kelantan juga tiada lagi kelab malam, sistem pajakan Islam diperkenalkan," katanya.

Mohd Ariff menambah Husam juga mungkin tidak lagi menyedari bahawa Kelantan yang diperintah PAS adalah negeri yang bersih daripada kes rasuah dan penyelewengan.


Baca Selera PAS tiada pada PH


Katanya selama 29 tahun dasar Membangun Bersama Islam dilaksanakan ia berjaya mendidik rakyat negeri itu meletakkan nilai halal dan haram - atau dosa dan pahala - dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

"Kesalahan dan ketelanjuran perlakuan sebilangan individu tidak boleh dibuat kesimpulan kepada keadaan keseluruhan perlakuan rakyat Kelantan," jelasnya.

Justeru kata Mohd Ariff, naib presiden Amanah itu wajar bermuhasah dan mencermin dirinya untuk melihat apa yang dilakukan oleh partinya untuk Islam setelah mendapat kuasa di Putrajaya.

"Yang kita tahu, masa hadapan Islam, bumiputera dan umat Islam semakin terancam sejak PH memerintah negara lebih setahun lalu.

"Kata-kata yang cukup diingati penyokong PAS ialah, sebilangan kecil daripada mereka yang meninggalkan PAS untuk bersama DAP ialah, mereka mahu menumpukan usaha menjatuhkan BN dan kemudian selepas memerintah, Islam akan dilaksanakan.

"Sekarang mereka sudah berkuasa namun ia tidak lebih daripada indah khabar daripada rupa," katanya.

Lihat Komen
ADS