Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK TG PIAI | Calon Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya kecil Tanjung Piai, Karmaine Sardini menjelaskan bahawa ucapannya mengenai harga kelapa sawit bukan bermaksud untuk tidak menghiraukan nasib peladang yang mengeluh berhubung pendapatan berkurangan.

Karmaine menjawab kritikan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan, yang mencabarnya untuk menyara hidup dengan hanya RM1,000 sebulan.

"Saya tidak bermaksud dengan RM1,000 itu mencukupi dengan tak ada benda lain.

"Maksud saya harga sawit turun naik adalah faktor perdagangan antarabangsa. Jadi berapa pun kita dapat, sepatutnya sebagai orang Islam kita patut bersyukur.

"Kalau lebih pun syukur, kurang pun syukur kerana rezeki itu semua Allah tentukan," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika mencabar Karmaine, Zahida menyatakan bahawa sukar untuk memenuhi keperluan dengan gaji bulanan RM1,000 berikutan kenaikan harga barangan di bawah SST dan cukai lain.

Bagaimanapun, Karmaine berkata kenaikan harga barang bukan sesuatu yang baru.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Karmaine berucap pada ceramah di Penerok pada Ahad lalu bahawa Harapan menerima banyak keluhan berhubung harga minyak sawit turun kepada RM270 setan.

“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit... banyak sebenarnya.

“Kalau ada kebun 10 ekar, (boleh) dapat lima tan paling tidak, lima tan darab RM270, dapat RM1,000 lebih.

“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.

Dia turut berkata keadaan pernah menjadi lebih teruk semasa negara ini di bawah pemerintahan BN apabila harga minyak sawit jatuh serendah RM87 setan.

Kenyataannya sejak itu menjadi bahan kempen pihak lawannya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini mempertahankan Karmaine, dengan mengatakan bahawa pemimpin Bersatu itu bercakap dalam konteks ajaran Islam.

Dalam catatan Facebook hari ini, calon BN Wee Jeck Seng berkata harga minyak sawit lebih tinggi di bawah kerajaan sebelumnya.

Dia menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad susulan kejatuhan harga sawit dengan mengatakan bahawa perdana menteri itu membiarkan kuasa asing menjejaskan kepentingan rakyat.

Ia dipercayai merujuk kepada larangan potensi minyak sawit Malaysia oleh India selepas Dr Mahathir mendakwa New Delhi menyerang Kashmir dan Jammu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS