Malaysiakini
BERITA

K'jaan benar tanam ganja jenis hemp bagi tujuan penyelidikan industri

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Nov 2019, 2:51 tengahari

Kerajaan akan membenarkan penanaman hemp, sejenis ganja daripada spesis Cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri, maklum Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau dipetik Bernama berkata kebenaran itu adalah di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai kuasa untuk memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.

"Bagaimanapun tarikh pelaksanaan kebenaran ini masih belum dapat diputuskan. Ia bergantung kepada perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata kepada media selepas merasmikan 18th Annual Scientific Congress of Asia Pacific Association of Medical Toxicology 2019, di Putrajaya hari ini.

Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa penanaman kanabis bagi tujuan perubatan (medical marijuana) dan sebagainya, masih tidak dibenarkan selagi undang-undang tidak dipinda.

"Kebenaran untuk penanaman (ganja) hemp tidak melibatkan penanaman kanabis (spesis ganja yang biasa dirujuk marijuana).

"Saya harap orang ramai tidak keliru," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Zainal dipetik Bernama berkata terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digariskan berikutan kebenaran penanaman hemp.

"Ini termasuklah siapa yang akan import, siapa yang akan tanam, tanah yang bagaimana sesuai untuk ditanam hemp, berapa lapis dan tinggi pagar,” katanya.

Dr Ramli menjelaskan Kementerian Kesihatan akan menyediakan garis panduan bagi penanaman hemp.

Menurut beliau, kebenaran penanaman hemp itu merupakan keizinan pertama yang diberikan Kementerian Kesihatan, di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Untuk hemp ditanam bagi tujuan komersial atau secara besar-besaran, ia memerlukan satu lagi keputusan," katanya.

Hemp mempunyai kandungan bahan kimia psikoaktif tetrahydrocannabinol (THC) pada kadar sangat rendah kurang 0.3 peratus, berbanding spesis ganja yang sering dirujuk sebagai marijuana yang mengandungi kadar peratusan THC yang tinggi.

Bagaimanapun, Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak membezakan dua spesis ganja ini dan hanya merujuknya sebagai kanabis. Penanaman enam pokok kanabis jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Umumnya hemp digunakan sebagai bahan industri kerana serat pada batang dan bijinya yang digunakan dalam lebih 25,000 produk industri di seluruh dunia, lapor Forbes.

Ini termasuklah kertas, tali, kain, bahagian automotif, perabot, produk kecantikan dan pembinaan.

Pada 10 Julai 2008, anak syarikat Proton ketika itu, Lotus melancarkan model kereta Eco Elise yang mana terdapat bahagian dalamannya dibuat daripada hemp.

Pada masa kini, terdapat lebih 30 negara di seluruh dunia membenarkan petani menanam hemp untuk tujuan industri, termasuklah Amerika Syarikat, China, Kanada dan negara jiran Thailand.

Jualan industri hemp global akan mencapai AS$5.7 bilion menjelang 2020 daripada AS$3.7 bilion pada 2018, lapor BBC memetik analisis New Frontier Data.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.