Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Wee Jeck Seng tidak mahu mengulas mengenai tuduhan terhadapnya berhubung isu Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) yang pernah dipengerusikannya

"Itu jangan tanya, apa yang penting ialah pilihan raya kecil ini, kita tumpu kepada pilihan raya," katanya kepada pemberita ketika berkempen di pekan Pontian hari ini.

Kempen PRK Tanjung Piai kini berbaki 48 jam saja lagi.

Semalam, pengerusi LPA, Chan Foong Hin mendakwa bahawa di bawah Wee, LPA mengeluarkan belanja besar untuk pengubahsuaian sebuah pejabat di Kuala Lumpur yang tak pernah digunakan.

Pengubahsuaian itu termasuk sebuah tandas berteknologi tinggi.

Menurut Chan, kos ubah suai itu mencecah RM343,180.50 dan LPA di bawah Wee mengikat kontrak sewa tiga tahun untuk pejabat itu dengan kos berjumlah RM526,836.96.

Chan yang juga anggota parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, menyifatkannya sebagai pembaziran dana dan berkata kontrak itu tidak boleh ditamatkan.

Selasa lalu, Wee mencabar Pengerusi DAP Victoria Utara, Wong Kwan Kit untuk membuat laporan polis jika ada salah laku dalam keputusan LPA untuk menyewa pejabat itu.

Jurucakap MCA Chan Quien Er mempertahankan rekod Wee sebagai pengerusi LPA, dan berkata sebarang keputusan yang dibuat lembaga itu diluluskan ahli lembaga pengarah dan bukan diputuskan oleh pengerusi sahaja.

Pejabat LPA di Kuala Lumpur yang kosong itu turut disebut dalam laporan audit negara, antara lain berkenaan tujuan pejabat itu tidak dinyatakan.

"Pasukan audit mendapati pejabat sewa itu diubahsuai tetapi tanpa perabot dan kelengkapan pejabat.

"Maka tujuan menyewa pejabat ini dengan kos RM526,836.96 (untuk tiga tahun) tidak dapat dijelaskan," katan laporan itu.

Pasukan audit mengesyorkan kontrak sewa disemak semula kerana ia melibatkan "pembaziran dana awam".

Lihat Komen
ADS