Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekalahan PH di Tg Piai: Mungkin salah saya, kata Mahathir

Selepas dipersalahkan berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan pada di pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini secara sinis mengakui beliau mungkin faktor gabungan itu tewas.

"Mungkin saya salah. Mana saya tahu," katanya dengan bersahaja kepada pemberita. Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa ahli parlimen PH yang mempersalahkan dirinya berhubung kegagalan PH mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Piai.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan di Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semalam di Parlimen, beberapa ahli parlimen PH menyuarakan pandangan sedemikian susulan keputusan PRK Tanjung Piai yang tidak menyebelahi PH.

Antara mereka adalah ahli parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengatakan Dr Mahathir perlu mengikut jejak langkah David Cameron yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri United Kingdom pada 2016 kerana gagal mengelakkan UK dari meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Manakala, ahli parlimen Subang, Wong Chen, dalam hantaran Facebook berkata perdana menteri memerlukan rancangan baru untuk mengelakkan PH daripada dilanda lebih banyak kekalahan.

Pada PRK hujung minggu lalu, calon BN, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi, apabila meraih 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardinie dengan 10,380 undi.

Peralihan kuasa bila masa sesuai

Sementara itu, menjawab gesaan supaya garis masa yang jelas diberikan berhubung cadangan peralihan kuasa susulan kekalahan PH di Tanjung Piai, Mahathir berkata ini akan ditentukan bila tiba masa yang sesuai.

"Kita belum tahu lagi keadaan negara sekarang ini sama ada bersedia untuk mengalih pentadbiran ataupun tidak. Bila sampai masanya kita tentukan," katanya.

Sebelum ini, bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali mengatakan keputusan PRK Tanjung Piai sebagai referendum terhadap kerajaan pimpinan Mahathir.

Pada September lalu, Syed Husin juga mengecam Mahathir kerana tidak menggariskan pelan peralihan kuasa secara jelas dan mempersoalkan kepemimpinan PH kerana menurutnya tidak lagi mampu berdepan dengan Mahathir.

Sebelum PRU lalu, PH menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri berdasarkan persetujuan beliau akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Beliau pada mulanya berkata akan memegang jawatan itu selama kira-kira dua tahun, tetapi dalam beberapa wawancara berkata ia mungkin boleh mengambil masa sehingga tiga tahun.

Lihat Komen
ADS