Malaysiakini
BERITA

Salwani - Wanita yang menyelamatkan laporan audit asal 1MDB

Hariz Mohd & Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2019, 10:03 pagi

KES PINDA AUDIT 1MDB l Tindakan seorang kakitangan Jabatan Audit Negara (NAD) pada tahun 2016 membantu mengekalkan bukti pindaan ke atas laporan audit 1MDB yang dilakukan oleh jabatan berkenaan.

Pegawai NAD Nor Salwani Muhammad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia secara rahsia menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal yang diterbitkan oleh jabatan itu pada 2016.

Bosnya ketika itu - Ketua Audit Negara, Ambrin Buang - telah memerintahkan agar semua 60 naskahlaporan berkenaan dimusnahkan untuk mengelak kebocoran. Hanya salinan yang telah dipinda diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Salinan laporan audit Nor Salwani mempunyai tanda "09". Dokumen itu dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit berkenaan.

"Saya menyimpan laporan itu untuk diberikan kepada ketua audit negara yang baru, dengan niat ikhlas, saya telah menyerahkan laporan '09' untuk membolehkan ketua audit negara yang baru mendapatkan keseluruhan gambaran mengenai penemuan audit," kata Salwani.

Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menyimpan sesalinan laporan itu secara rahsia kerana mungkin memerlukannya pada kemudian hari sebagai rujukan.

Salwani juga telah membekalkan lebih banyak bukti utama dalam bentuk rakaman audio selama dua jam dan 45 minit yang dirakamkan pada mesyuarat 24 Feb 2016, yang dihadiri oleh pegawai tertinggi dari kerajaan dan 1MDB.

Katanya, beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan JAN tanpa pengetahuannya (Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.