Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parlimen setuju lanjut tempoh isytihar harta hingga 5 Dis

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta bagi anggota Parlimen sehingga 5 Disember tahun ini.

Usul bagi melanjutkan tempoh pengisytiharan harta itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong pada sesi persidangan Dewan Rakyat pagi tadi.

"Sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan juga ketelusan, semua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akaun berkanun.

"...Akuan berkanun itu hendaklah dikemukakan kepada tuan yang dipertua Dewan Rakyat rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul tersebut.

"Majlis buat ketetapan melanjutkan tarikh bagi mengemukakan akaun berkanun pengisytiharan harta ahli Dewan Rakyat adalah tidak lewat pada hari Khamis, 5 Disember ini," katanya ketika mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat.

Usul berkenaan mendapat persetujuan ahli Dewan Rakyat bagi tujuan melanjutkan tarikh pengisytiharan harta.

Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul khas mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan harta mereka sebelum 1 Oktober.

Liew mengemukakan usul supaya anggota parlimen mesti melengkapkan perisytiharan aset peribadi, perisytiharan harta tambahan dan pelupusan perisytiharan aset - semuanya dibuat di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

Mereka yang gagal berbuat demikian boleh dianggap menghina peraturan Parlimen dan berdepan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 80.

Usul itu diluluskan dengan sebulat suara, walaupun banyak halangan daripada pembangkang yang antara lain mengatakan pengisytiharan aset bukan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Bagaimanapun anggota Parlimen pembangkang enggan berbuat demikian dan SPRM masih menunggu salinan pengisytiharan harta wakil rakyat pembangkang.

Lihat Komen
ADS