Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM masih tunggu MP pembangkang isytihar harta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu salinan pengisytiharan harta daripada anggota parlimen pembangkang, meskipun tarikh berbuat demikian telah tamat hampir sebulan lalu.

Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul khas mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan harta mereka sebelum 1 Okt.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Shamsun Baharin Mohd Jamil, anggota parlimen perlu mengisytiharkan aset mereka melalui akuan bersumpah kepada Speaker Dewan Rakyat.

Berikutan itu, katanya, speaker akan memberikan satu salinan perisytiharan harta berkenaan kepada SPRM.

Bagaimanapun, hampir sebulan selepas tarikh itu berakhir, suruhanjaya antirasuah itu masih belum menerima sebarang pengisytiharan daripada speaker, kata Shamsun.

"Kami hanya akan menyiarkan pengisytiharan harta pada portal sebaik sahaja kami terima daripada mereka," katanya ketika dihubungi.

Speaker Dewan Rakyat, Ariff Md Yusof tidak memberikan respon kepada pertanyaan Malaysiakini mengenai perkara itu.

MP BN enggan isytihar harta

Pada Isnin (Nov 18) lalu, anggota parlimen Pontian (BN) Ahmad Maslan berkata pembangkang tidak akan mengisytiharkan aset mereka kerana tiada undang-undang mewajibkan mereka berbuat demikian.

Beliau mengulas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon, yang mengatakan ramai anggota parlimen pembangkang, terutamanya dari BN, masih belum mengemukakan pengisytiharan harta mereka.

Kenyataan Ahmad tersebut bercanggah dengan usul yang dibentangkan oleh Menteri undang-undang VK Liew pada Julai lalu.

Menurut usul itu, anggota parlimen mesti melengkapkan perisytiharan aset peribadi, perisytiharan harta tambahan dan pelupusan perisytiharan aset - semuanya dibuat di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

Mereka yang gagal berbuat demikian pada 1 Okt boleh dianggap menghina peraturan Parlimen dan berdepan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 80.

Usul itu diluluskan dengan sebulat suara, walaupun banyak halangan daripada pembangkang yang antara lain mengatakan pengisytiharan aset bukan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Liew berkata usul itu akan membuka jalan bagi rang undang-undang untuk mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta mereka. 

Adalah tidak jelas sekiranya rang undang-undang itu akan dibentangkan pada sesi persidangan kali ini.

Pada masa ini, hanya aset yang diisytiharkan oleh anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) dan anggota eksekutif disenaraikan di laman web yang diselenggarakan oleh SPRM.

Bagaimanapun, berdasarkan paparan portal itu lima anggota parlimen PH masih belum mengisytiharkan harta mereka.

Bimbang keselamatan

Anggota parlimen terkini yang mengisytiharkan harta adalah Anggota Parlimen Teluk Intan dari DAP, Nga Kor Ming, yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat. 

Beliau mengisytiharkan aset bernilai RM7.9 juta.

Menteri Pelancongan, Mohammadin Ketapi dan Menteri Industri Utama Teresa Kok adalah dua anggota kabinet terakhir mengisytiharkan harta mereka. Kedua-duanya berbuat demikian pada September lalu.

Mohammadin mengisytiharkan harta bernilai sebanyak RM9,388 (bersama dengan isterinya) manakala Kok mengisytiharkan aset sebanyak RM2.58 juta.

 

Pengisytiharan harta adalah salah satu pembaharuan dibawa kerajaan PH dalam usaha membendung rasuah di kalangan wakil rakyat dan anggota eksekutif.

Sebelum ini, anggota kabinet hanya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM, yang kemudiannya maklumat itu diberikan kepada perdana menteri.

Ketika era BN, menteri enggan mengisytiharkan harta mereka dengan alasan faktor keselamatan seperti bimbang anak-anak mereka akan diculik.

Isnin lalu, Ahmad berkata anggota parlimen pembangkang hanya akan mengisytiharkan harta mereka jika pindaan dibuat terhadap undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan SPRM atau Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bercakap kepada New Straits Times, beliau mendakwa anggota parlimen PH juga mengadu pelaksanaan pengisytiharan harta menggugat keselamatan mereka.

"Kami berpendapat parlimen tidak mempunyai hak untuk memaksa kami untuk mengisytiharkan harta yang akan didedahkan kepada umum, dan menimbulkan isu-isu keselamatan dan keselamatan kepada anggota parlimen," katanya. 

Lihat Komen
ADS