Pemuda Umno hari ini mengutus sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusoff memohon agar penghawa dingin di Dewan Rakyat ditutup semasa wakil rakyat sedang bersidang.

"Kami ingin memohon pihak pengurusan Parlimen agar menutup penghawa dingin semasa sidang Dewan Rakyat.

"Ini kerana kami amat bersimpati serta rasa hiba sedih dengan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang kesejukan dan tidak dapat hadir sidang Dewan Rakyat bagi menjalankan tanggungjawab mereka setelah dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14," petik surat yang ditandatangani oleh Exco Pemuda Umno Shahrul Nasrun Kamarudin.

Surat bertarikh 28 Nov itu juga mempunyai cap akuan penerimaan daripada pejabat speaker.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata ahli parmen tidak boleh berada di dalam dewan terlalu lama kerana ia terlalu sejuk.

Beliau memberikan alasan itu ketika ditanya mengenai kekecohan sewaktu undi belah bahagi di Dewan Rakyat bagi meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat malam Selasa lalu.

Dalam suratnya Shahrul, berkata pengurusan Parlimen juga boleh menjimatkan bil elektriknya dengan menutup penghawa dingin.

Penjimatan dari bil elektrik itu, kemudiannya, katanya boleh digunakan untuk menyediakan lebih banyak bantuan kebajikan kepada rakyat.

“Akhir kata, kami berharap speaker akan meluluskan permohonan kami demi menjaga kesihatan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan supaya (mereka) dapat terus mengekalkan posisi mereka sehingga pilihan raya umum ke-15," kata Shahrul.