Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PAU2019 | Semalan bermulanya perhimpunan agung Pemuda, Wanita dan Puteri Umno buat kali kedua sebagai pembangkang, selepas tersungkur dalam PRU ke-14.

Berbanding suasana suram yang agak sunyi ketika perhimpunan kali pertama, kali ini ia tampak lebih ceria dan bersemangat.

Bermula dengan Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang dihadiri lebih 1,000 termasuk pemerhati, perhimpunan wanita dan puteri juga tidak kurang meriah dengan usul-usul dan sesi perbahasan yang rencam.

Tidak dinafikan topik-topik biasa seperti serangan terhadap DAP dan dakwaan kedudukan Melayu dan Islam yang terancam masih dilaungkan, tetapi perhimpunan kali ini lebih menonjolkan isu Muafakat Nasional.

Boleh dikatakan bahawa kemenangan BN di empat PRK terakhir, iaitu Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan terbaru di Tanjung Piai dengan majoriti lebih 15,000, menanamkan semangat bahawa Muafakat Nasional antara Umno dan PAS mampu mengembalikan Putrajaya kepada BN pada PRU ke-15 nanti.

Semua ketua sayap menyentuh kepentingan Muafakat Nasional dalam ucapan dasar mereka.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki misalnya menyatakan bahawa Muafakat Nasional adalah jawapan terbaik daripada Umno kepada rakyat Malaysia.

"Bermula dengan gerakan penyatuan Ummah yang akhirnya berjaya menyatukan dua parti terbesar mewakili kelompok majoriti Melayu-Islam, Umno dan PAS, sehingga termeterainya piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

"Kerjasama Umno dan PAS tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata.

“Muafakat Nasional juga tidak wajar mengesampingkan kaum-kaum lain yang telah menjadi sebahagian daripada warga tanah air tercinta," katanya semalam.

Di sayap Puteri, ketuanya Zahida Zarik Khan berkata undi di kalangan anak muda adalah penting kerana mereka adalah penentu kepada kemenangan Muafakat Nasional pada PRU akan datang.

"Kita akan sama-sama mengukuhkan keyakinan anak muda negara ini supaya mampu mencari titik persamaan di bawah gagasan Muafakat Nasional.

"Pergerakan Puteri ialah pergerakan anak muda. Muafakat harus dijadikan trend anak muda. Muafakat mesti menjadi jenama baru anak muda kita," katanya.

Bagaimanapun ketua Wanita Noraini Ahmad mengambil langkah lebih berhati-hati dengan mengingatkan para perwakilan agar tidak dibuai dengan kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, dalam membuat persediaan berdepan PRU ke-15.

"Konsensus PRK dan PRU sangat berbeza. Mungkin kemenangan yang dikecapi bukan disebabkan kita kuat tetapi rakyat hanya mahu memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kita harus berhati-hati, peka, dan sentiasa bersiap-sedia."

Di sebalik ucapan-ucapan bernada serius, Anggota Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan pula mengutarakan cadangan - secara seloroh - untuk mengukuhkan lagi persefahaman antara Umno-PAS.

"Jika sudah kahwin, kalau syarat mencukupi untuk kahwin kedua, carilah Muslimah PAS," katanya.

Lihat Komen
ADS