Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Selangor gembira Jamal nak cari dana untuk parti

Mengakui berdepan dengan kekangan kewangan, Pengerusi Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, menyambut baik hasrat salah seorang pemimpin parti itu untuk berkeliling ke seluruh negeri mencari dana.

Kata Mat Nadzari, kesanggupan ketua Umno Sungai Besar itu sangat tepat untuk parti berkenaan yang menghadapi masalah dana.

Kenyataan bekas Adun Batang Kali itu dibuat beberapa hari selepas Jamal - yang terkenal dengan pelbagai aksi gimiknya untuk Umno sebelum ini - menyatakan bantahan terhadap rancangan Umno Selangor mahu menjual bangunan mereka di Shah Alam.

Menurut Jamal, walaupun menghadapi masalah, langkah menjual bangunan Umno Selangor adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.

Justeru ketua kumpulan Baju Merah itu menyatakan kesanggupan berkeliling Selangor mencari dana menyelamatkan partinya.

"Saya sanggup keliling seluruh Selangor untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.

"Dan jika pengurusan tertinggi masih berhasrat untuk menjual, saya tidak teragak-agak untuk kaveat (halangan) bangunan tersebut," katanya pada 13 Dis lalu. 

Sementara itu Mat Nadzari mengumumkan, langkah untuk menjual bangunan Umno Selangor masih di peringkat cadangan dan belum ada keputusan dibuat.

Katanya cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat khas melibatkan ketua-ketua bahagian Umno Selangor.

Menurut Mat Nadzari pengurusan parti amat perlukan kedudukan kewangan yang stabil bagi melancarkan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut beliau dalam mesyuarat itu Jawatankuasa Kewangan Umno Selangor turut mencadangkan beberapa perkara lain bagi mendapatkan dana selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun mereka.

"Disebabkan itulah timbulnya cadangan bagi penjualan ini bagi membantu pergerakan parti, namun keputusan muktamad hanya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri," katanya dipetik Sinar Online hari ini.

Untuk rekod, Pada 13 Dis lalu, Jamal menjelaskan bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk membuat permohonan kaveat kepada bangunan tersebut sekiranya pengurusan tinggi masih berniat untuk menjual. 

Lihat Komen
ADS