Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Komen Dr Asri punca ketegangan kaum, bukan sekolah Cina’
Diterbitkan:  Dec 31, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 4:52 AM

Adun Bagan Dalam, M Satees menyangkal dakwaan Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin yang berpandangan bahawa pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.

Sebaliknya, Satees berkata komen oleh Dr Asri yang sebenarnya menyebabkan pergeseran di antara kaum.

Beliau berkata Asri sebelum ini pernah membela seorang pendakwah yang membuat ulasan yang mengguris perasaan berhubung agama Hindu dan mencadangkan pendekatan "Saddam Hussein" dikenakan ke atas golongan minoriti di negara ini.

"Adakah Asri menggaji di sekolah vernakular untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu?

“Ketegangan kaum di Malaysia semakin memuncak, bukan disebabkan sekolah-sekolah vernakular, tetapi kerana politik berasaskan garis perkauman dan agama.

"Ini lebih-lebih lagi, selepas pilihan raya umum lalu, politik perkaaman telah meningkat secara dramatik, dengan mereka yang kalah berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan semula. Setiap perkara dan segalanya dijadikan hujah berlandaskan perkauman serta dipolitikkan.

"Asri tidak membantu meredakan keadaan tetapi sebaliknya menghangatkan lagi dengan kenyataannya. Dalam keadaan seperti itu, Asri tidak mempunyai sebarang kedudukan moral untuk mengulas mengenai isu tersebut," kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan.

Satees juga mengakui bahawa pihak berkuasa terlalu lemah dalam menangani pergeseran kaum di negara ini.

"Sebagai contoh, ratusan laporan telah dibuat terhadap Dr Zakir Naik, yang secara terbuka membuat kenyataan menghina penganut Hindu dan masyarakat Cina di hadapan ribuan hadirin.

"Apa hasil siasatan polis? Adakah Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan sebarang tindakan terhadap penduduk tetap itu berhubung ucapannya, yang jelas merupakan kesalahan di bawah undang-undang?

"Tidakkah pihak berkuasa menyedari bahwa dengan tidak bertindak, dalam kes ini, akan menghantar mesej bahawa penghinaan seumpama itu adalah perkara biasa, dan tindakan tidak akan diambil terhadap sesiapa yang membuat kenyataan yang menghina itu? Tidak hairanlah kebencian kaum, agama terdapat secara meluas di media sosial," katanya.

Satees berkata hanya mereka yang mengamalkan politik perkauman akan menyalahkan sekolah vernakular atas hubungan kaum yang semakin merosot Malaysia.

"Sekolah vernakular tidak kurang daripada sekolah kebangsaan dalam mempromosikan bahasa kebangsaan, identiti dan perpaduan negara.

“Malah, ada kalanya sekolah vernakular lebih baik dalam aspek itu, berbanding dengan sekolah kebangsaan," katanya.

Lihat Komen
ADS