Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjelaskan setakat ini beliau tidak ada menerima sebarang arahan daripada polis untuk menjalankan ujian poligraf.

Tambah ahli parlimen Port Dickson itu, tidak ada sebab mengapa hal berkenaan dijadikan isu dan ia berkait dengan prisip kedaulatan undang-undang dan keadilan.

Katanya untuk menjalankan ujian tersebut ia mesti ada asas untuknya.

"Mesti ada asas, mesti ada bukti. Kalau tak ada keterangan, tak ada saksi, tak ada bukti, tak ada tempat... semua tak betul, nak buat ujian apa?

"Kalau saya kata you rompak lepas tu suruh you buat ujian, tak munasabah, kan? Mesti ada asas untuk lakukan itu," katanya kepada media ketika ditemui semasa Persidangan Antarabangsa Perpaduan Dalam Kepelbagaian di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur hari ini.

Isu ujian poligraf timbul ekoran dakwaan bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther mendakwa Anwar melakukan salah laku seks ke atasnya.

Yusoff sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Dis tahun lalu.

Peguam Yusoff, Haniff Khatri Abdulla, berkata mereka berpuas hati dengan ujian tersebut dan berharap ia dapat membantu siasatan polis.

Seorang pemimpin PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, kemudian mencadangkan agar Anwar turut menjalani ujian poligraf bagi membuktikan beliau. 

Ditanya mengenai kesediaan jika diminta polis menjalani ujian tersebut, Anwar berkata tiada permintaan dibuat sehingga kini.

"Saya tahu mainannya, saya tahu beberapa orang menggunakan orang ini. Biarkan rakyat menguruskannya.

"Tidak seperti kes-kes lain, saya berharap polis melakukannya segera, saya jemput mereka ke rumah dan saya pergi berjumpa mereka di ibu pejabat polis," katanya.

Lihat Komen
ADS