Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dedah audio: Tak wajar tapi siasatan mesti dibuat, kata Badan Peguam
Diterbitkan:  Jan 9, 2020 9:38 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor, menyifatkan pendedahan rakaman audio yang memaparkan perbualan didakwa Najib Razak bersama beberapa individu berhubung kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sebagai “tidak wajar” dan “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Kata Abdul Fareed, ia akan mengundang perbicaraan oleh media (trial by media) walaupun siasatan oleh pihak berkuasa belum lagi dilakukan.

“Cara pendedahan itu adalah tidak wajar serta mengundang pelbagai tuduhan ke atas SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), termasuk menghina mahkamah, subjudis, melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972, selain menggugat kedaulatan undang-undang.

“SPRM sepatutnya memaklumkan kepada awam tentang kewujudan rakaman audio berkenaan, dan menyerahkan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.

“Turut dilaporkan bahawa ketua pesuruhjaya malah mengesahkan ketulenan rakaman itu, dan peranan itu sepatutnya dimainkan mahkamah - sekiranya pendakwaan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, di sebalik pendirian tersebut, Abdul Fareed menegaskan Badan Peguam tetap menggesa siasatan menyeluruh dibuat terhadap pendedahan tersebut, yang disifatkannya sebagai “merunsingkan serta bersangkut-paut dengan kepentingan awam”.

“Kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan apabila prinsip ketelusan, kebolehpercayaan, pengurusan yang baik dan kepentingan awam dijaga,” katanya.

Semalam, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan telefon membabitkan "Najib" berkaitan skandal 1MDB.


Baca Najib nafi dimarahi Rosmah


Antaranya ialah perbualan Najib dengan mantan ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.

Perbualan lain ialah antara Najib dengan individu berpangkat tinggi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berhubung berhubung tuntutan saman sivil dan pelucutan hak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat serta dana 1MDB yang disalurkan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Turut disiarkan, rakaman perbualan terlefon antara Najib dengan isterinya, Rosmah Mansor.

Najib ketika disoal pemberita di mahkamah menyatakan terkejut dengan pendedahan rakaman itu, manakala peguamnya Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak mereka mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS