Malaysiakini
BERITA

Hamid sahkan 16 orang positif dadah dalam kondo di Jalan Puchong

Faisal Asyraf

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2020, 7:34 pagi

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, hari ini mengesahkan pihak berkuasa menahan 17 individu - termasuk enam wanita - dalam sebuan ke atas sebuah kondominium awal pagi semalam.

Katanya, kondominium itu terletak di Jalan Puchong.

Bagaimanapun di sebalik pengesahan tersebut Abdul Hamid enggan mendedahkan identiti mereka kerana perlu menunggu ujian saringan air kencing kali kedua.

Membuat kenyataan itu ketika orang ramai memperkatakan keberadaan Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah, dalam serbuan tersebut, Abdul Hamid menjelaskan serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Daripada enam wanita yang ditahan itu, kata Abdul Hamid, seorang adalah warga asing, manakala selebihnya rakyat tempatan, termasuk seorang berbangsa Iban dan seorang lagi Sulu.

"Pemeriksaan dijalankan dan polis menemui satu paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis ketamine seberat 0.5 gram, satu piring kaca berisi serbuk disyaki jenis ketamine 0.3 gram, sebatang rokok berisi ceraian daun kering disyaki ganja, daun terup dan cip disyaki untuk permainan judi," katanya di Bukit Aman petang tadi.

Nama Adhif Syan menjadi perhatian sejak pagi tadi apabila tular maklumat yang mengaitkannya dengan serbuan - dan tangkapan - oleh polis berhubung siasatan kes dadah.

Tak boleh sebut nama

Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan, Adhif Syan menafikan ditangkap sebaliknya beliau menegaskan ada di rumah, serta menganggap maklumat tersebut mungkin sengaja dikaitkan dengannya.

Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari dipetik media sebagai berkata, memang ada Adun parti itu ditahan polis namun beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana kes sedang disiasat.

Kata Abdul Rashid, penahanan itu diketahui selepas beliau menghubungi Kementerian Dalam Negeri.

Abdul Rashid Asari

Abdul Hamid berkata, hasil ujian saringan air kencing didapati 16 daripada mereka positif dadah, manakala seorang lagi negatif.

Katanya selepas keterangan mereka diambil polis membebaskan mereka dengan jaminan.

"Kecuali seorang wanita warga asing tersebut (yang masih ditahan)," katanya.

Menurut Abdul Hamid, serbuan dilakukan selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam yang mengadu unit kediaman berkenaan bising dan menggangu penghuni lain.

Katanya serbuan dilakukan kira-kira jam 4.40 pagi Ahad.


Baca Pemuda Bersatu pula dakwa ditawar dedak


Ditanya mengenai identiti individu yang disiasat itu, Abdul Hamid enggan kerana siasatan masih dijalankan dan polis perlu menunggu keputusan ujian saringan kali kedua.

Katanya, pendedahan identiti sebelum keputusan berkenaan diperolehi mungkin bersifat subjudis atau prejudis.

"Sebagaimana saya sebut tadi, saya tak boleh sebut nama.

"Kalau ada orang yang mengaku, saya persilakan, jawapannya boleh saya kongsi dengan pegawai penyiasat," katanya.

Ditanya bila keputusan ujian saringan kedua akan diperolehi, Abdul Hamid berkata, beliau tidak akan mendesak penyiasat terbabit kerana memahami beban tugas mereka.

"Saya takkan membebankan dan mendesak mereka," katanya.

Beliau juga berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.