Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Video Tahun Baru Cina Teresa perjelas isu minyak sawit
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

MP Seputeh Teresa Kok dikenali kerana berlakon dalam video yang dihasilkannya sempena sambutan Tahun Baru Cina yang kadangkala mengundang kontroversi.


BACA: Polis terima lebih 40 aduan video Teresa Kok


Beliau pernah dihadapkan pertuduhan menghasut di mahkamah pada 6 Mei 2014 kerana video satira sempena perayaan itu.

Bagi sambutan pada tahun ini, Kok mengambil kesempatan untuk menjelaskan salah faham mengenai minyak sawit.

"Walaupun video ini merakam semangat Tahun Baru Cina, mesej yang mendasari klip video ini adalah untuk menghapuskan salah faham mengenai minyak sawit dengan cara yang kreatif dan menyeronokkan. Di samping itu, saya menggalakkan orang ramai untuk bertanya soalan bagi mendapatkan jawapan yang betul [...]

"Tujuan utama klip CNY saya ini adalah untuk menerangkan kritikan tersebut dalam bahasa mudah orang biasa dan memberi nasihat kepada penonton agar tidak terlalu cepat menghukum atau percaya banyak tuduhan palsu.

"Sebaliknya, mereka mendapatkan pengesahan yang wajar mengenai fakta sebenar. Ini menyebabkan mereka menjadi jurucakap minyak sawit Malaysia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Klip sepanjang lima minit dan 13 saat itu yang dilancarkan di Youtube semalam, memaparkan beberapa watak menyuarakan kritikan mengenai minyak sawit, manakala Kok dan pelakon lain menawarkan penjelasan mereka sehingga semua orang yakin manfaat minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.

Video itu berakhir dengan menteri industri utama itu menyeru penonton supaya memahami dengan lebih lanjut mengenai minyak sawit dan membantu mempromosikan minyak sawit Malaysia di luar negara.

Video itu juga kelihatan menolak kritikan biasa bahawa Kok kelihatan terlampau bersungguh-sungguh mempromosikan untuk 'menjual' minyak sawit.

Pada satu babak, selepas Kok membuat penampilannya dalam video, seorang pelakon melontarkan dialognya,"tak kira dekat mana, asal nampak dia, mesti cakap pasal minyak sawit, tak habis-habis."

Seorang lagi berkata, "kalau nak sangat jual kelapa sawit baik pergi luar negara. Jual kepada orang putih."

Seorang lagi watak pula berkata, "Kalau pun kita pakai (minyak sawit) untuk mandi tak naik juga ekonomi kita."

Untuk rekod, Kok sebelum ini mempertahankan kempen mempromosikan minyak kelapa sawit, berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya juga membantu menarik perhatian terhadap minyak sawit.

Beliau telah melancarkan lebih banyak kempen eksport minyak sawit dan melobi untuk menghalang rancangan Kesatuan Eropah yang mahu menyekat biodiesel yang berasal dari minyak sawit atas dasar kebimbangan alam sekitar.

 

Lihat Komen
ADS