story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan tubuh majlis pengurusan komuniti kampung di 5 negeri

Kerajaan Persekutuan bersetuju mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima negeri bagi membolehkan rakyat di negeri berkenaan mendapat maklumat yang lebih tepat mengenai dasar-dasar kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata negeri terbabit adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak serta MPKKP itu adalah penambahbaikan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang wujud sejak Okt 2018.

"Diharapkan dengan penubuhan MPKKP ini ia akan menjadi ejen perubahan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan ini.

"Kerajaan mahu ia sampai ke peringkat akar umbi dengan lebih jelas melalui seluruh anggota jawatankuasa MPKKP berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada MPKKP Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Seramai 693 ahli MPKKP menerima watikah pelantikan itu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Penyelaras MPKKP negeri Kelantan, Sazmi Miah dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang juga Pengerusi PH Kelantan Husam Musa.

Tiada pertindihan dengan k'jaan Kelantan

Ditanya adakah penubuhan MPKKP itu menyamai MPKK yang ditubuhkan kerajaan PAS Kelantan, Rina berkata tiada pertindihan berlaku kerana ia ditubuhkan kerajaan persekutuan yang sama sekali tidak sama dengan kerajaan negeri.

"Terdapat 13 ahli dalam MPKKP di setiap kampung dan ia merupakan penambahbaikan terutama dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.

Beliau berkata ini kerana sebelum ini, kementeriannya melihat penyampaian dasar-dasar kerajaan kepada rakyat mempunyai sedikit kelemahan, oleh itu penambahbaikan ini dibuat.

Antara peranan majlis itu adalah membantu kerajaan persekutuan di negeri berkaitan untuk merancang pembangunan di peringkat kampung, menyalurkan maklumat keperluan pembangunan masyarakat kampung kepada kerajaan Persekutuan serta merancang dan melaksana program di kampung melalui permohonan geran yang disediakan.

"Kerajaan Persekutuan bersedia mendengar permasalahan rakyat dan setiap masa kita perlu kepada penambahbaikan itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS