Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi, Dr M berjumpa untuk kebajikan akhirat, kata Dr Sam
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 10:49 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Demi akhirat - itu inti pati kepada pertemuan di antara Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut hadir dalam pertemuan tersebut memberitahu kedua-dua pihak membincangkan hal-hal berkaitan akhirat.

Malah, kata Ahmad Samsuri, pertemuan di antara kedua-dua tokoh itu bukanlah pertama kali, malah lanjutan daripada pertemuan sebelumnya.

"Apa yang ingin dicapai dalam pertemuan (dengan Mahathir) itu adalah perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan untuk (kepentingan) akhirat, dan tidak menjadi apa-apa halangan untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak.

"Kita (PAS) sentiasa menyatakan pendirian, kita bercakap di atas fakta dan benda (perkara) yang betul, yang benar.

"Mana yang salah itu salah, mana yang betul itu betul," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Beberapa hari lalu tular gambar menunjukkan Mahathir menjadi tuan rumah kepada kunjungan Abdul Hadi dan Ahmad Samsuri.

Tak timbul berseteru

Berdasarkan gambar itu, pertemuan tersebut turut disertai isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta individu yang dekat dengan perdana menteri terbabit, Khairuddin Abu Hassan.

Gambar itu kemudian mencetuskan gosip kononnya ada usaha membawa masuk PAS menyertai PH. Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, hari ini menafikan parti itu pernah terfikir untuk menyertai gabungan kerajaan. 

Beberapa pihak pula mendakwa, pertemuan tersebut dibuat untuk mengukuhkan lagi jaminan PAS kepada Mahathir sebagai perdana menteri. Isu itu sebelum ini ditimbulkan selepas Abdul Hadi dan Mahathir bertemu menjelang pilihan raya kecil parlimen DUN Semenyih pada Feb 2019.

Ahmad Samsuri berkata tiada halangan untuk beliau - selaku menteri besar - untuk berurusan dengan mana-mana menteri di peringkat persekutuan.

Beliau yang juga naib presiden PAS menambah tiada mana-mana pihak akan membantah jika kerajaan Terenganu mengambil tindakan yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.


Baca Zahid: PAS tak pernah minta MIC bersunat


"Saya rasa tidak ada mana-mana orang yang tidak setuju dengan benda yang baik.

"Mana-mana yang positif, yang mendatangkan manfaat kepada negeri, juga kepada rakyat dan negara umumnya, dan kepada umat Islam, lagilah.

“Maka, tentunya kita harus mencari jalan yang terbaik untuk semua pihak. Kita kena sedar bahawa negeri Terengganu ini salah satu dari unit dalam kerajaan persekutuan, federalisme dalam Malaysia," katanya.

Malah tegas Ahmad Samsuri, tidak akan wujud Malaysia tanpa adanya Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis atau mana-mana negeri sekalipun.

"Jadi, saya rasa tidak timbul kita berseteru atau seumpamanya.

"Apa yang penting ialah bagaimana (mahu) mengukuhkan konsep federalisme antara negeri dengan persekutuan," katanya.

Lihat Komen
ADS