Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes LTTE: Mahkamah tolak permohonan ikat jamin adun Gadek

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ikat jamin Adun Gadek G Saminathan berkaitan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE .

Keputusan dibuat hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

Selain Saminathan yang berada di kandang tertuduh, turut hadir adalah isterinya V Umadevi dan anggota keluarga; beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang (penasihat), Charles Santiago (anggota parlimen Klang) dan Khoo Poay Tiong (adun Kota Melaka); serta Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Ahmad Shahrir menjadi hakim pertama yang menolak permohonan ikat jamin untuk kes berkaitan LTTE berdasarkan merit.

Pada 24 Januari lalu, Ahmad Shahrir bersetuju bahawa beliau terikat dengan keputusan mahkamah tinggi lain bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau dikenali juga sebagai Sosma - yang melarang mahkamah menimbang permohonan ikat jamin bagi kes berkaitan keganasan, sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari itu beliau juga mendengar penghujahan pendakwaan dan pembelaan berkenaan sama ada Saminathan perlu diberi ikat jamin, dan menetapkan hari ini untuk keputusannya.

Prosiding itu susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Seksyen 13 Sosma sebagai bertentangan dengan Perlembagaan, antara lain kerana merampas kuasa mahkamah untuk memberi ikat jamin dalam kes berkaitan keselamatan.

Ahmad Shahrir berkata, permohonan ikat jamin ditolak antaranya kerana LTTE masih diwartakan sebagai pertubuhan pengganas, berdasarkan warta Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Ia relevan kepada dua pertuduhan yang dihadapi Saminathan, iaitu sokongan kepada LTTE dan memiliki barang yang berkaitan dengan kumpulan itu, kata Ahmad Shahrir.

Bagaimanapun beliau mengambil maklum bahawa pertubuhan yang telah dibubarkan itu tiada lagi dalam senarai pertubuhan pengganas aktif di Kesatuan Eropah, Switzerland dan Sri Lanka, di mana kumpulan itu diasaskan.

"Pasti ada sebab munasabah untuk menganggap LTTE diwartakan (sebagai kumpulan pengganas), kerana ia belum dibatalkan.

"Menteri dalam negeri telah mengambil kira faktor lain seperti keselamatan dan ketenteraman awam. Bergantung kepada pembuat dasar (untuk menimbang pembatalan status LTTE dalam warta) dan mahkamah tidak akan menceroboh bidang kuasa itu," katanya.

Katanya lagi, permohonan Saminathan turut ditolak kerana salah satu pertuduhan terhadapnya, iaitu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Saminathan turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan, atas pertuduhan memiliki barang berkaitan LTTE.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS