Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS menegaskan betapa parti itu tidak akan gopoh dalam menentukan percaturan politik, malah akan berusaha menjadi kerajaan melalui 'pintu depan'.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan melihat perkembangan peringkat demi peringkat dan mengendahkan sebarang andaian.

"Sehingga ini kita bincang peringkat demi peringkat yang lebih besar, kita tunggu dan lihat

"Saya rasa proses demokrasi ini macam-macam (cara) nak masuk parlimen pun ada banyak pintu, boleh pilih nak masuk pintu mana. Tapi mestilah ikut proses undang-undang yang betul.

“Insya-Allah kita masuk pintu depan. Cuma kita tahu ada orang nak jadi perdana menteri pintu belakang," katanya pada sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana bertajuk Pemetaan Dunia Baru sempena 30 tahun petadbiran membangun bersama Islam di Kota Bharu, malam semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Adam, menyatakan rasa "malu" apabila mendakwa Umno kini dipimpin oleh seorang presiden yang dianggapnya lemah serta tiada jati diri.

Kenyataan itu turut disertakan dengan rakaman audio didakwa suara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, semasa menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno.

Antara lain, Ahmad Zahid didakwa mahu Umno mengikut tindakan PAS supaya tidak tertinggal di belakang, selain mahu menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

Ketika ditanya mengenai spekulasi jika PAS mempunyai rancangan untuk berpakat dengan parti Bersatu, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut.

"Itu kena parti itu, jangan tanya saya. (Sebarang) andaian saya tak boleh jawab, mungkin orang parti itu lebih tahu," katanya.

Selain itu anggota Parlimen Marang itu menjelaskan beliau akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa.

"Kita tak gopoh mesti lihat perkembangan politik, sebab politik ini anjal (dan) fleksibel kita buat andaian (lain) dia berlaku lain, sebab itu kalau berlaku, baru kita buat keputusan.

"Yang penting Muafakat Nasional dah berjaya menyatukan umat Islam dan memberi keyakinan kepada sebahagian bukan Islam," kata Abdul Hadi.

Lihat Komen
ADS