Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sasterawan Negara anggap cadangan PPSMI satu ‘jenaka’ Dr Mahathir

Meskipun kerajaan masih belum memutuskan pelaksanaan menggunakan semula bahasa Inggeris dalam pembelajaran sains dan matematik di sekolah, Sasterawan Negara Prof Siti Zainon Ismail menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu sebagai satu "jenaka."

Dengan nada menyindir, beliau sebaliknya berkata rakyat Malaysia perlu berani bersuara mengeluarkan pandangan mereka berhubung perkara itu.

"Saya dah anggap ini jenaka beliau, saya pernah jadi pengiring beliau (Mahathir) di Dewan Bahasa, dia pernah komen, dia kata malu datang Dewan Bahasa kerana bahasa Melayu saya bahasa kampung (bahasa daerah).

"Maksudnya bahasa daerah itu menjadikan dia rasa tergugat, bahasa daerah teruskan, orang Kelantan dengan dialeknya, tapi bahasa formal gunakan bahasa rasmi dalam pembelajaran.

"Jangan gusar, biarkan dia keluarkan pandangan, dia sudah usia 90... tetapi tidak mengapa, kita kena berani bersuara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Gerakan Mansuhkan PPSMI di Sekretariat ABIM Pusat di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 31 Januari, Dr Mahathir, sekali lagi mencadangkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan.

Kenyataan mengenainya dimuat naik di You Tube rasmi beliau, namun ia tidak menjelaskan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, hari ini Mahathir yang juga pemangku menteri pendidikan berkata ia masih belum diputuskan dan sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan pendapat majoriti anggota kabinet.

Sementara itu, mengulas mengenai pandangannya terhadap penggunaan bahasa ibunda, beliau melihat kebanyakan anak muda di negara ini berasa malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka berbanding anak muda di Korea dan Indonesia.

"Umpamanya anda berhadapan mewakili negara, mereka tak malu berbahasa asal mereka dan mereka membawa penterjemah.

"Kesedaran ini mesti dari rumah," katanya.

Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 itu turut menggambarkan keadaan semasa yang melihatkan anak muda lebih bangga dengan penampilan ala Barat dan berbahasa ibunda.

"Kalau malu tu saya lihat bagaimana drama kita walaupun bahasa Inggeris tak bagus, tapi gayanya ingin menjadi orang asing dalam diri kita, rambut pun perang, mata pun biru.

"Ini adalah kekurangan jiwa, peribadi yang datang dari dalam hati.

Untuk rekod, Siti Zainon sebelum ini turut mendapat pengiktirafan dalam negara, apabila beliau berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak enam kali, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, Penghargaan Usaha Seni Tan Sri Fatimah-Avon, dan Pingat Seri Mahkota Selangor.

Usaha gigih beliau dalam bidang kesusasteraan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, apabila memenangi Sea Write Award (1989), Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia- Anugerah Tokoh Seni Budaya (2015), Hadiah Sketsa Kartini, Penghargaan Seni Seoul Country Club, Korea Selatan, Gelaran Teuku Chut Nyak Fakinah dan Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabat Ghafur Aceh.

Lihat Komen
ADS