story images
story images
mk-logo
Berita
Lim: PAS nak 'selamatkan negara' cuma dongeng
Diterbitkan:  Feb 15, 2020 12:05 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menolak dakwaan PAS bahawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga habis penggal bertujuan untuk "menyelamatkan negara."

MP Iskandar Puteri menyifatkan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu sebagai "cerita dongeng."

"Hadi fikir rakyat Malaysia bodoh untuk mempercayai kisah dongeng mutakhir daripada PAS bahawa usul undi percaya parti itu di parlimen bulan depan bertujuan untuk menyelamatkan negara.

"Ini walaupun sebenarnya bertujuan menyerang kerajaan Pakatan Harapan dan mengajukan pilihan Hadi kepada rakyat Malaysia memilih (untuk diperintah oleh) antara penggembala lembu atau penggembala babi.

"[...] Pihak yang menggalakkan politik sebegini sedang memperjudikan masa depan sebuah negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya," kata beliau pada suatu kenyataan hari ini.

Lim merujuk ucapan Abdul Hadi pada bulan lalu yang mengingatkan orang Melayu dan umat Islam sama ada mahu menjadi "penggembala lembu" di bawah pemerintahan orang Melayu Islam ataupun "penggembala babi" di bawah pentadbiran pihak lain.

Dengan mengambil contoh kejatuhan kuasa Islam di Sepanyol pada masa lampau, Hadi berkata penting buat umat Islam untuk memahami sistem politik.

Jelas MP Marang lagi, meskipun berada di bawah pemerintahan orang Melayu Islam yang zalim, namun rakyat hanya sekadar "menjadi penggembala lembu" berbanding di bawah pentadbiran pihak lain.

Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan "pihak lain" yang dimaksudkannya.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan tampil mempertahankan langkah membentangkan usul undi percaya itu, berkata ia selari dengan proses demokrasi.

“Yang penting ialah kita mahu selamatkan negara. Bukan sahaja orang Melayu orang Islam, termasuk kaum lain.

“Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada perdana menteri, Tun Mahathir yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama.

“Bukan tak ada masalah (bawah teraju Tun), ada masalah, tapi (Tun) dapat mengatasi masalah, yang kita yakin.

“Kita minta supaya (Dr Mahathir) diberi kepercayaan menjadi perdana menteri sehingga habis penggal. Itu cadangan PAS," katanya.

Menurut Lim pada hari ini, langkah PAS hanya menunjukkan parti tersebut tidak mempunyai iltizam terhadap prinsip demokrasi berparlimen.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad semalam berkata usul undi percaya menyokong Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga PRU 15 pada sesi Dewan Rakyat akan datang demi memelihara "kemaslahatan negara dan rakyat."

Menurut Kamaruzaman pendirian PAS itu dibuat kerana "sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, peletakan dan pemilihan perdana menteri haruslah mendapat sokongan semua anggota parlimen terutamanya dari pihak kerajaan."

Menjelaskan lanjut langkah usul percaya PM yang akan dibawa PAS itu, Kamaruzaman mendakwa berlaku krisis kesepakatan dalam gabungan PH yang mencerminkan ketidakstabilan dalam pemerintahan susulan janji peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

Bagaimanapun, Lim menegaskan pada hari ini gabungan PH kekal kukuh selepas pertemuan Dr Mahathir dan Anwar.

Perdana menteri semalam sekali lagi menegaskan beliau akan berundur selepas November tahun ini.

“Saya dengar cerita macam-macam, nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.

"Saya sudah 94 tahun.

“Tak lama lagi 95. Mana boleh tahan.

"Saya janji akan letak jawatan selepas Apec, itu saya pegang kepada janji saya.

"Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan," katanya.

Lihat Komen
ADS