Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hentikan polemik peralihan kuasa, kata anggota MPT Bersatu

Baru-baru ini laman Sarawak Report dalam satu laporannya mendakwa sejumlah anggota Parlimen - daripada Umno, PAS, Bersatu dan kem dalam PKR yang memihak kepada Mohamed Azmin Ali - digesa untuk menandatangani akaun berkanun (SD) untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal ini.

Ia dikaitkan dengan usaha menggagalkan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, seperti yang dipersetujui oleh parti komponen PH sebelum PRU ke-14.

Terdapat juga dakwaan bahawa sejumlah 138 anggota parlimen telah menandatanganinya.

Dua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dihubungi Malaysiakini menggesa agar isu berkaitan peralihan kuasa itu dihentikan apatah lagi ia sudah dipersetujui sebelum ini.

Wan Saiful Wan Jan berkata, sebarang "muslihat licik" untuk mengeruhkan perkara itu perlu dihentikan kerana ia menunjukkan keadaan politik yang tidak sihat.

"Pihak berkepentingan yang ada muslihat licik hendak cepatkan peralihan kuasa ataupun kekalkan Dr Mahathir (sehingga tamat penggal) perlu berhenti (berbuat demikian).

“Isu peralihan kuasa ini sudah capai persetujuan yang kita semua sudah maklum, sepatutnya janganlah buat desakan kerana ia melanggar persetujuan pimpinan tertinggi," katanya.

Wan Saiful dan Rais Hussin

Rais Hussin Mohamed pula menyifatkan pertelingkahan berlarutan berkenaan isu tersebut akan menghakis kepercayaan rakyat kepada PH.

Beliau yang juga presiden Emir Research itu berkata fokus utama harus diberi kepada soal pentadbiran terutama usaha menepati janji dalam Manifesto PRU14.

"Permainan politik kotor ini harus dikurangkan kerana ia membuatkan rakyat kurang percaya kepada pimpinan PH," katanya lagi.

Pada 13 Februari lalu, Anwar mengakui "ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR" untuk mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga tamat penggal, tetapi mengatakan perdana menteri tidak terlibat dengannya.

Beliau juga berkata isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada 21 Februari ini - selepas kali terakhir majlis itu bermesyuarat pada 23 November lalu.

MP: Saya tak tahu-menahu

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu, Rosol Wahid berkata beliau tidak tahu-menahu berkenaan SD tersebut dan enggan memberi tumpuan terhadapnya.

“Saya memang tidak tahu dan tak ambil tahu berkenaan perkembangan isu SD itu, yang merupakan satu khabar angin. Saya sibuk jalankan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di kawasan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Rosol Wahid

Seorang lagi anggota parlimen Bersatu yang dihubungi Malaysiakini, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) pula enggan mengulas tentang perkara itu.

Rosol dan Fasiah adalah antara enam anggota parlimen yang keluar Umno untuk menyertai Bersatu pada Februari 2019.

Turut senada dengan Rosol ialah Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang yang menyifatkannya sebagai "khabar angin" dan mengatakan beliau sendiri tidak pernah melihat SD tersebut.

“Saya sendiri tak pernah nampak lagi SD ni, jadi saya tidak boleh komen lebih lanjut...pimpinan PH yakin dengan keputusan perdana menteri berkenaan peralihan kuasa," katanya yang juga adun Puteri Wangsa.

Mazlan Bujang

Tiada garis masa ditetapkan bagi peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar berlaku, tetapi perdana menteri baru-baru ini sekali lagi mengulang komitmennya untuk melepaskan jawatannya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini.

Anwar pula pada bulan lalu menggesa para pemimpin PH untuk menghentikan polemik sekitar isu tersebut dan mahu ia dilaksanakan secara baik.

Bagaimanapun wujud gesaan agar Mahathir kekal memimpin negara sehingga tamat penggal, antaranya menerusi usul undi percaya yang dicadangkan PAS.

Selain itu wujud juga khabar angin berhubung penubuhan apa yang digelar sebagai Pakatan Nasional, sebuah gabungan baru yang didakwa melibatkan Umno, PAS dan Bersatu, dan diketuai Mahathir.

Mahathir bagaimanapun menafikan ada membuat pelawaan itu kepada parti pembangkang, manakala Anwar menyifatkannya sebagai khabar angin dengan jumlah anggota parlimen yang dikatakan menyertainya "dibesar-besarkan".


Lihat Komen
ADS