Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Perak letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 11:32 AM
Dikemaskini: 5:20 AM

  • Dikemas kini dengan komen Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal Azumu menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri besar Perak, sehari selepas beliau mengumumkan pembentukan kerajaan baru Perikatan Nasional (PN), semalam.

Faizal berbuat demikian selepas mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh pagi tadi.

Katanya, dalam pertemuan tersebut, beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Perak bahawa kerajaan negeri “gugur” apabila parti Bersatu keluar daripada PH, dan bersepakat dengan Umno dan PAS untuk membentuk gabungan PN.

“Maka selari perkara itu, saya telah mempersembahkan warkah peletakan jawatan saya selaku menteri besar, dan memaklumkan tentang pelucutan semua jawatan exco secara serta merta.

“Sehubungan dengan itu, bagi pihak Bersatu, saya telah menyembah maklum bahawa kami bersepakat untuk menerima apa saja titah perkenan dari DYMM tuanku untuk melantik seorang menteri besar baru dan menubuhkan kerajaan dengan melantik exco-exco.

“Kita akan nantikan titah selanjutnya daripada DYMM,” katanya kepada pemberita di hadapan di Istana Kinta, Ipoh hari ini.

Faizal turut meminta rakyat bersabar dan bertenang dalam menghadapi pertukaran kerajaan, dan meminta rakyat mengadakan solat hajat agar keselamatan dan pembangunan dapat berjalan baik di Perak.

Bagaimanapun, disoal sama ada Sultan Perak menerima surat peletakan jawatannya itu, kata Faizal, dia hanya menghantar warkah peletakan jawatan, dan kini terpulang pada bidang kuasa sultan sama ada untuk menerimanya atau pun tidak.

Tambahnya juga, pihak Bersatu telah menamakan beliau untuk dicalonkan kembali sebagai calon menteri besar kepada sultan Perak.

Semalam, Faizal menyatakan sokongan kepada PN dan mempunyai 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri baru, menyebabkan PH tumbang di Perak.

Faizal bagaimanapun menafikan sokongannya terhadap PN merupakan satu pengkhianatan. Sebaliknya mendakwa, pengkhianat sebenar ialah exco PH yang cuba menjatukannya sebagai menteri besar Perak.

Tidak lama kemudian, tiga wakil rakyat PH - Adun Tronoh Paul Yong (DAP), Adun Buntong A Sivasubramaniam (DAP), dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Amanah) - mengumumkan keluar daripada pakatan itu dan menyokong PN.

Mengulas mengenai hal itu, Faizal mengucapkan terima kasih kepada tiga Adun berkenaan dan memberi jaminan akan meneruskan kerjasama dengan mereka dalam apa juga kapasitinya selepas ini.

Lihat Komen
ADS