Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pimpinan Tabligh dakwa 12,500 jemaah hadir ijtima, bukan 16k
Diterbitkan:  Mar 22, 2020 9:44 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia mendakwa jumlah kehadiran himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling awal bulan ini, hanyalah sekitar 12,500 orang bukan 16,000.

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong berkata, jumlah tersebut berdasarkan data rasmi Syukbah Pendataan yang sudah dibuat pertubuhan itu.

"11,000 antara mereka adalah penduduk tempatan dan setakat 19 Mac, laporan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menunjukkan bahawa 10,500 antara mereka telah pun disaring. Baki yang belum disaring berjumlah sekitar 500 orang semuanya.

“Data itu dikira berdasarkan keluasan tempat himpunan dan ruang dalam masjid, contohnya bahagian sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang, manakala bahagian tetamu luar negara seramai 840 orang,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Jelasnya, kehadiran peserta himpunan itu dikira semasa solat didirikan berdasarkan kiraan kepala pada setiap saf dan bukanlah anggaran semata-mata.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 13 Mac lalu menganggarkan jumlah peserta tabligh dari Malaysia di Masjid Sri Petaling yang dikaitkan dengan kes Covid-19 baru-baru ini, tiga kali ganda daripada yang dinyatakan sebelum ini.

Berdasarkan siasatan kementerian itu, KKM berkata terdapat kira-kira 16,000 peserta di ijtima tabligh antarabangsa di sebuah masjid Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac.

Daripada angka tersebut, kira-kira 14,500 dipercayai rakyat Malaysia, menurut infografik yang dimuatnaik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Kemudian pada 19 Mac, Noor Hisham mengumumkan seramai 10,553 ahli jemaah tabligh yang hadir perhimpunan pada berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu sudah diperiksa.

Menurut KKM, seramai 10,650 peserta tabligh dikesan membabitkan 40 markas bagi pengesanan kluster kes Covid-19.

Daripada jumlah itu, 10,553 sudah diperiksa dengan 4,986 sampel diambil dan 2,559 disahkan negatif manakala 513 positif.

Jadual itu juga menunjukkan seramai 659 sudah dimasukkan ke hospital manakala 6,627 di dalam pemantauan di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang mengenal pasti baki 4,000 peserta perhimpunan yang masih belum menjalani saringan Covid-19 dengan sebahagian mereka dikhuatiri cuba menyorokkan tahap kesihatan masing-masing.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihak Tabligh menerima banyak laporan peserta ijtimak telah membuat pemeriksaan di pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya pada beberapa hari pertama.

Bagaimanapun, mereka telah diminta pulang ke rumah masing-masing dan melakukan kuarantin selama 14 hari apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Namun kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum mereka dihantar pulang. Apabila terdengar laporan yang mengatakan ribuan peserta ijtimak belum lagi disaring, ramai antara mereka telah pergi berkali-kali ke pejabat kesihatan daerah atau hospital berhampiran sehingga nama mereka direkod dan butiran mereka diambil.

"Kami juga ada terdengar bahawa di kalangan warga asing yang menetap di Malaysia, ribuan orang Rohingya dikatakan telah menyertai ijtimak ini.

"Rekod kami menunjukkan bahawa bilangan rakan seusaha Rohingya yang hadir ialah sekitar 200 orang dan rakan seusaha Myanmar pula berjumlah 150 orang," katanya.

Setakat semalam, wabak Covid-19 telah meragut lapan nyawa, dengan dua lagi kematian melibatkan dua lelaki tempatan berusia 57 tahun dan 69 tahun daripada kluster jemaah Tabligh. 

Lihat Komen
ADS