BERITA

Pegawai kerajaan bimbang mesyuarat macam biasa semasa PKP

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 11:22 tengahari

Ketika orang ramai diseru untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19, ada kakitangan kerajaan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap operasi di kementerian di Putrajaya.

Antara isu yang menjadi punca kebimbangan itu ialah kaedah mesyuarat yang masih dijalankan secara konvensional.

Salah seorang pegawai kerajaan yang enggan mendedahkan identitinya mendakwa terdapat ramai penjawat awam yang masih perlu hadir ke pejabat untuk bekerja sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Ada banyak kemudahan, milsanya Skype, untuk digunakan sebagai medium bermesyuarat.

"Malah dalam portal Mampu (Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia) pun ada tapi tak gunakan,” katanya.

Dakwanya, bilangan pegawai yang hadir ke mesyuarat sewaktu tempoh PKP dilaksanakan ini juga agak ramai dan masing-masing tidak mengamalkan penjarakan sosial seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Namun apa yang lebih membimbangkan, katanya, jika terdapat pegawai tinggi kerajaan yang dijangkiti virus tersebut sebelum ia disedari dan mereka menghadiri mesyuarat tersebut.

Tak berapa tepat

Penjarakan sosial yang disarankan sebagai salah satu langkah memutuskan rantaian wabak Covid-19 merupakan ketetapan untuk mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Perkhidmatan penting negara (essential services) itu meliputi air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sementara itu tiga kementerian yang dihubungi oleh Malaysiakini menjelaskan bahawa mesyuarat yang diadakan oleh kementerian mereka hanya membabitkan isu-isu penting.

Salah seorang sumber dari kementerian yang tidak dapat dinamakan berkata, kebanyakan mesyuarat diadakan secara atas talian dan mengamalkan penjarakan sosial sekiranya ia dijalankan secara berdepan.

“Ini tidak berapa tepat. Mesyuarat kebanyakannya dijalankan secara dalam talian tetapi ada mesyuarat yang penting dan urgent (segera) yang perlu dijalankan secara berdepan, tetapi kami lakukan mengikur prosedur social distancing,” kata sumber itu sebagai mengulas dakwaan tersebut.

Seorang lagi sumber yang juga enggan mendedahkan nama kementeriannya turut menegaskan hal sama.

Katanya kementerian terbabit hanya mengehadkan kepada lima orang pegawai dalam satu mesyuarat, serta mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut sumber itu, mesyuarat tersebut hanya dilakukan sekiranya melibatkan perkara penting yang tidak dapat dielakkan.

“Benda yang penting dan tidak boleh ambil masa begitu lama dan perlu diputuskan (segera)," katanya.

Menurut sumber terbabit kementerian berkenaan perlu terus beroperasi berdasarkan kesesuaian arahan PKP.

“Jadi ia adalah di bawah SOP (prosedur operasi standard) yang dibenarkan,” katanya.

Sumber itu menambah, tiada kakitangan lain dari kementerian tersebut yang bekerja ketika mesyuarat dijalankan.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan mengadakan mesyuarat sewaktu perintah kawalan yang bermula sejak 18 Mac lalu.

“Mesyuarat tak ada. Kakitangan pejabat menteri bertugas seperti biasa seperti yang termaktub dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara).

“Perbincangan antara pegawai-pegawai di pejabat menteri adalah perkara biasa. Ini bagi memastikan segala inisitiatif yang dibuat oleh KPWKM dapat disegerakan,” kata pegawainya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu yang sepatutnya berakhirnya pada 31 Mac dilanjutkan ke 14 April.

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 23 kematian akibat Covid-19 dan 235 kes baru yang menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan sebanyak 2,031.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.