Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas tolak jawatan di GLC, Mat Hasan dapat pujian Syed Saddiq

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, memberikan teladan "terbaik" mengenai prinsip dan integriti kepada dunia politik di negara ini apabila tetap menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Saddiq, tidak mudah untuk seseorang menolak tawaran seumpama itu yang biasanya membawa bersama peluang berbentuk wang ringgit yang besar.

"Saya sokong pegangan Datuk Seri (Mohamad) dalam hal ini. Sesungguhnya, inilah yang harus saya dan rakan-rakan sejawatan pelajari.

"Saya percaya ahli politik harus membuang jauh-jauh rasa takut untuk kalah dalam pilihan raya jika berlaku adil dan jujur. Menang kalah pilihan raya itu adalah rezeki dan amanah dari tuhan.

"Semuanya kita ikhtiar untuk bantu rakyat. Tetapi, ahli politik harus menzahirkan rasa jelik dengan kemenangan oleh elit politik yang menabur wang dan janji rakyat untuk pangkat dan kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Muar itu berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mohamad yang enggan menerima pelantikan bagi mengetuai sebuah GLC oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Semalam, Mohamad dilaporkan menolak tawaran untuk menjadi pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mengesahkan hal berkenaan kepada Malaysiakini, beliau yang sebelum ini pernah menjadi tokoh korporat sebelum menyertai politik secara aktif pada zaman Abdullah Ahmad Badawi tidak menjelaskan alasan mengapa keputusan tersebut diambil. 

Datang dengan banyak kelebihan

Sebelum ini beberapa ahli parlimen PN sudah dilantik mengetuai pelbagai agensi dan GLC, termasuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) yang dipilih menjadi pengerusi Mara dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Bachok) sebagai pengerusi Kesedar. 

Selain Mohamad, desas-desus mendakwa beberapa pemimpin lain akan diberi jawatan, termasuk veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan naib presiden parti itu, Mahdzir Khalid sebagai pengerusi Telekom Malaysia Bhd. 

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman pula dikatakan akan menjadi pengerusi Prasarana Malaysia Bhd.

Terdahulu Anggota Parlimen Bintulu dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) Tiong King Sing menolak pelantikan sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Tiong kemudian dilantik Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menjadi duta khas bertaraf menteri ke China.


Baca Bagaimana Muhyiddin perkukuh kuasa melalui lantikan GLC


Pengkritik mendakwa langkah tersebut diambil Muhyiddin sebagai cara untuknya mendapatkan sokongan daripada seramai mungkin ahli parlimen ketika kedudukan Bersatu dalam kerajaan dilihat masih rapuh berbanding Umno dan PAS.

Syed Saddiq berkata langkah seperti diambil Mohamad itu mungkin permulaan yang sukar untuk "politik khidmat" di negara ini kerana sangat jarang ahli politik menolak tawaran sedemikian.

“Lebih-lebih lagi tawaran dari syarikat-syarikat yang besar dan utama di negara kita datang dengan begitu banyak kelebihan. Selain daripada bayaran asas, tawaran tersebut juga datang dengan elaun mesyuarat, elaun kereta, elaun eletrik, dan lain lain lagi.

“Kalau prinsip ahli politik dikaburi dengan wang ringgit, pasti tidak akan menolak tawaran yang boleh mencecah lebih RM300,000,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS