mk-logo
Berita
Amaran NGO jadi nyata: 3 depoh imigresen disahkan kes Covid-19
Diterbitkan:  May 24, 2020 6:26 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Amaran berulang kali oleh kumpulan hak asasi manusia bahawa serbuan dan penahanan warga asing tanpa dokumen semasa pandemik Covid-19 berisiko mencetuskan wabak di pusat tahanan imigresen nampaknya menjadi kenyataan selepas tiga depoh tahanan imigresen disahkan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan satu lagi kluster jangkitan baru di Depot Tahanan Imigresen Sepang.

Ia sehari selepas KKM memaklumkan kluster baru di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

Sebelum ini, kluster baru juga berlaku di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

"Enam kes disahkan di kluster baru di Depot Tahanan Imigresen Sepang," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Noor Hisham turut mengumumkan penemuan kluster baru di pusat tahanan imigresen di Semenyih dengan 21 kes.

Hari ini, beliau mengumumkan 27 lagi kes baru di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

Sehingga semalam, Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil merekodkan 60 kes Covid-19.

Hari ini negara mencatatkan 60 kes baru Covid-19 dengan 44 melibatkan warga asing.

Kumpulan hak asasi manusia telah memberi amaran bahawa langkah penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan dengan baik di kem tahanan dan dapat menjadi pusat pembiakan wabak koranavirus baru itu.

Kerajaan telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengepung pendatang tanpa izin di kawasan Perintah Pergerakan Kawalan Diperketatkan (PKPD) sebelum larangan tersebut dilonggarkan.

PKPD adalah amalan mengurung semua penduduk ke kediaman mereka untuk membolehkan pemeriksaan kesihatan bagi Covid-19.

Putrajaya menegaskan kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dan tidak boleh membiarkan warga asing memasuki negara ini secara haram ketika tempoh PKP dilonggarkan.

Kementerian Kesihatan juga telah membuat saringan kepada semua tahanan untuk Covid-19 sebelum menempatkan mereka di pusat tahanan.

Bagaimanapun, dengan penularan wabak di tiga pusat tahanan secara berasingan, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada virus itu dibawa oleh kakitangan imigresen atau sekiranya terdapat beberapa tahanan yang telah terlepas pandang semasa proses ujian Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS