mk-logo
Berita
Lompat parti: Baru Bian tak kisah digelar 'katak'
Diterbitkan:  May 30, 2020 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Selepas mengambil keputusan menyertai Parti Bersatu Sarawak (PSB), Ahli Parlimen Selangau Baru Bian berkata beliau tidak menghiraukan caka-cakap yang menggelarkan dirinya katak kerana menukar parti politik.

"Biarlah orang hendak kata apa mengenai saya, tetapi mereka harus faham maksud katak dalam politik.

"Kita terpaksa bertukar parti disebabkan pelbagai faktor, antaranya perubahan yang berlaku dalam parti," katanya lapor BH Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perasaannya jika ada yang menggelarnya sebagai 'katak' seperti yang biasa berlaku kepada mana-mana ahli politik yang melompat parti.

Baru yang merupakan bekas pengerusi PKR Sarawak dilaporkan menyifatkan mereka yang keluar dari parti itu sebagai “katak yang bijak.”

Beliau juga melihat dirinya sebagai “katak yang baik” apabila menyertai PSB hari ini.

Terdahulu, dua bekas pemimpin kanan PKR Sarawak iaitu Bian dan Ahli Parlimen Batu Lintang See Chee How dilapor menyertai PSB.

Susulan daripada laporan penyertaan kedua-dua pemimpin tersebut ke PSB, PKR Sarawak menggesa kerajaan menggubal undang-undang bagi mencegah ahli parlimen lompat parti.

Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak Abun Sui Anyit pula berkata wakil rakyat yang lompat parti harus diuji dengan mengosongkan kerusinya melalui penyerahan kembali kepada kuasa rakyat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS