Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Spekulasi lagi menteri akan letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 2:54 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Sidang media yang dijadualkan pada jam 5 petang hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof mencetuskan spekulasi bahawa akan berlaku lagi pengunduran dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Ini lebih-lebih lagi sidang media itu bertempat di kediaman rasminya di Parkfiled Residences, Kajang dan bukannya di lokasi rasmi.

Redzuan sebenarnya telah memaklumkan hasratnya untuk mengadakan sidang akhbar pada semalam setelah menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Ketika ditanya apakah beliau akan mengundurkan diri, semalam, beliau memberitahu Malaysiakini: "Tidak, tidak, tidak, terlalu banyak spekulasi. Esok (Jumaat) saya akan adakan sidang media."

Ketika ditanya mengenai sidang media itu, seorang pegawainya memberitahu “buat je la”.

Bagaimanapun, akhbar The Star yang memetik sumber mendakwa apa yang tersebar itu tidak akan menjadi kenyataan.

"Kerana Pak Wan (Redzuan) telah bersama (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin sejak PRU14 dan dia akan kekal sampai akhir. Itulah rancangannya," kata sumber itu.

Sebelum ini, undangan untuk sidang media disebarkan kepada media, tetapi tujuan ia diadakan tidak didedahkan.

Malah, sumber akhbar itu, mendakwa undangan palsu menghadiri sidang media banyak dihantar ketika perbalahan semakin sengit antara puak bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan kem Muhyiddin.

"Mereka cuba melaga-lagakan Redzuan dengan Muhyiddin," kata sumber itu.

Sementara itu, Harian Metro yang juga memetik sumber melaporkan sekurang-kurangnya dua menteri kabinet Bersatu dijangka meletakkan jawatan dalam masa terdekat dan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Menurut sumber itu, kedua-dua menteri kabinet berkenaan sebelum ini adalah menteri penuh ketika pemerintahan Pakatan Harapan dan bertukar portfolio selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.

"Ya, ada lagi yang akan menyusul. Sekurang-kurangnya dua menteri. Selepas itu dijangkakan ada lagi.

"Mereka ini semua berjuang sejak awal bersama-sama Dr Mahathir, menubuhkan parti untuk menentang amalan rasuah dan kleptokrasi. Dengan hala tuju parti yang baru ini, mereka rasakan Bersatu sudah lari daripada matlamat asal," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Shahruddin Salleh melepaskan jawatannya atas alasan beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN.

Katanya, beliau seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14.

Justeru, sebagai langkah awal bagi membetulkan kesilapan itu, maka beliau meletak jawatan.

Berdasarkan tempat duduk sidang Parlimen terakhir pada 18 Mei, PN hanya memiliki majoriti dua kerusi sementara Pakatan Harapan memberi bayangan bahawa ia memiliki sejumlah kerusi yang mencukupi untuk merampas kembali Putrajaya.

PN menerajui Putrajaya susulan rampasan kuasa pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Harapan, yang menyaksikan kerajaan persekutuan PH yang memerintah selama 22 bulan itu tumbang.

Berikutan krisis politik selama seminggu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan setelah membentuk pakatan PN dengan Umno, BN, PAS dan GPS.

Lihat Komen
ADS