Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Campur tangan pihak ketiga punca Umno Tanah Merah kena gantung’

Tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap Umno Bahagian Tanah Merah berkuatkuasa 16 Jun lalu, adalah kerana wujud campur tangan pihak ketiga daripada parti lain dalam urus tadbir parti.

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan memalukan parti memandangkan Umno adalah parti besar dan tidak perlu dikawal oleh pihak lain.

“Dakwaan juga mengatakan terdapat ramai ahli hantu atau ahli paksa. Mereka katanya tidak mengetahui menjadi ahli Umno sejak bertahun lalu.

"Apa yang berlaku ini memalukan parti dan jelas amalan tidak sihat. Prinsip saya jelas Umno perlu diurus sendiri oleh pasukan Umno dan tidak perlu kepada campur tangan pihak luar," katanya pada sidang media selepas hadir Program Jom MSPO Bersama Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi MPOB berkata demikian ketika ditanya punca Umno Bahagian Tanah Merah dikenakan tindakan tersebut.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Umno Tanah Merah digantung oleh Majlis Tertinggi Umno pada 16 Jun lalu, namun alasan penggantungan tersebut tidak dinyatakan.

Ahmad Jazlan berkata, pihaknya mendapati campur tangan itu turut berlaku di peringkat cawangan melibatkan hampir 80 peratus cawangan di bahagian itu.

"Hampir 80 peratus cawangan berlaku masalah campur tangan pihak ketiga. Ada yang didaftar untuk merebut jawatan dalam bahagian supaya cawangan berkenaan dikuasai oleh kelompok tertentu.

"Susulan penggantungan itu setakat ini kita sudah melantik seorang pegawai pemantau bagi memastikan bahagian itu boleh bergerak seperti biasa.

"Kita belum menubuhkan jawatankuasa sementara kerana setiap orang yang dilantik perlu dipastikan benar-benar setia dan patuh kepada parti. Kita tidak mahu tersalah pilih yang boleh menjadi tanggapan buruk kepada ahli yang lain," jelasnya yang juga anggota Parlimen Machang.

Lihat Komen
ADS