mk-logo
Berita
Polis akan dakwa individu di balik 'hantaran menghasut' kaitkan MP Segambut

Polis telah mengenal pasti suspek yang telah memfitnah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh melalui kenyataan palsu yang dikaitkan dengannya, yang mana beliau telah disiasat di bawah Akta Hasutan kerana hal itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis telah menemubual Yeoh dan merakam kenyataan dari suspek.

"Orang itu akan didakwa," kata beliau menjelaskan pihak polis akan menegakkan keadilan mangsa sama ada ahli politik atau pun pihak lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed sebelum ini berkata ahli parlimen Segambut itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Ata Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yeoh disiasat berhubung satu hantaran di media sosial yang dikaitkan dengannya. 

Bagaimanapun, bekas timbalan menteri itu telah menegaskan sejak Mac lagi, iaitu ketika hantaran tersebut mula muncul, bahawa kenyataan yang dikaitkan dengannya itu adalah palsu.

3 didakwa mangsa cabul tampil ke depan

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid juga mendedahkan bahawa terdapat tiga lagi individu yang mendakwa menjadi mangsa cabul oleh aktivis NGO yang telah tampil membantu siasatan polis terhadap kes itu.

"Kami telah menerima laporan dan kertas siasatan telah dibuka.

"Orang yang dituduh telah dirakam kenyataannya. Tuduhan serius telah dibuat dan kami sedang menyiasat," katanya.

Semalam, polis telah menangkap aktivis itu susulan dakwaan mencabul seorang doktor pelatih.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dalam suatu kenyataan memaklumkan penangkapan aktivis lelaki berusia 50an itu untuk siasatan lanjut.

"Suspek yang berkerusi roda dan lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah dirakam percakapan dan akan diberi jamin," katanya.

Terdahulu polis Kuala Lumpur juga mengesahkan telah menerima satu laporan polis yang dibuat pada 17 Februari 2020 oleh seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun yang merupakan seorang doktor pelatih.

"Setelah membuat laporan Polis tersebut, pada awalnya, pengadu tidak mahu meneruskan tindakannya. Kemudian, pada 7 Julai 2020, pengadu meminta pihak polis untuk meneruskan siasatan.

"Menurut laporan pengadu, pada 4 Nov 2019, jam lebih kurang 12.00 tengah hari, pengadu telah dicabul oleh suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu di dalam bilik pejabat suspek di sebuah hospital di Kuala Lumpur," kata kenyataan itu semalam.

Menurut Mazlan, mangsa mendakwa lambat membuat laporan polis kerana khuatir kerjayanya akan musnah memandangkan suspek adalah penyelianya serta seorang yang berpengaruh.

Sebelum penangkapannya, aktivis itu telah menafikan tuduhan serupa terhadapnya, dengan menuduh seorang pengadu menyimpan dendam selepas kalah saman sivil.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama aktivis tersebut kerana kes itu belum lagi dibawa ke mahkamah dan bagi melindungi identiti pengadu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS