Malaysiakini
BERITA

Menteri positif potensi ‘kereta terbang’

Yasmin Ramlan

Diterbitkan

PARLIMEN l Meskipun kerajaan Perikatan Nasional percaya bahawa dengan projek mobiliti udara super drone atau lebih dikenali sebagai “kereta terbang” mempunyai potensi pada masa akan datang, bagaimanapun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau tidak pasti mengenai status dana RM20 juta yang disalurkan untuk pembangunan projek tersebut.

“Superdrone mempunyai potensi tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa,” kata Wan Junaidi ketika menjawab soalan berkenaan perkembangan terkini pembangnan terkini industri kereta terbang di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, projek itu dimulakan ketika kerajaan Pakatan Harapan iaitu di bawah menteri sebelumnya Mohd Redzuan Md Yusof. Redzuan kini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran kerajaan PN.

Projek tersebut sebelum ini mendapat kecaman teruk dari pemimpin pembangkang yang kini berada di berada dalam PN apabila Redzuan sebelum ini gagal menjelaskan sokongan kerajaan untuk teknologi tinggi termasuk "kereta terbang" setelah diasak dan diperlekehkan oleh anggota parlimen pembangkang.

Menjawab soalan tambahan dari Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas), Wan Junaidi ditanya mengenai status dana RM20 juta untuk projek tersebut yang diluluskan oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might).

“Saya tak boleh bagitahu apa terjadi pada kewangan itu.

“Oleh kerana kalau dah disumbang, saya cukup yakin kementerian yang menyumbang sumber kewangan ni akan gunapakai dan memantau pembangunannya.

“Dalam keadaan itu saya tak boleh menjawab apa yang saya tak tahu,” kata Wan Junaidi.

Untuk rekod, pada Disember 2019, Kementerian Pembangunan Usahawan telah menjelaskan bahawa peruntukan RM20 juta yang disediakan Might tiada kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/super drone (mobiliti udara) yang dibangunkan oleh Aerodyne Group.

Ia susulan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa agar pihak berkuasa menjalankan audit terhadap pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan ke syarikat Aerodyne.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.