Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu balas jemputan, nyatakan sedia sertai Muafakat Nasional'

Bersatu sudah membalas surat jemputan yang dihantar Umno dan PAS dan menyatakan kesediaan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, surat jemputan itu dijawab oleh presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sendiri.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Muhyiddin telah menjawab surat itu dan menyatakan kesediaan Bersatu menjadi anggota di bawah MN.

"Kita sudah terima surat berkenaan, cuma kita belum sempat mengadakan persidangan lagi. Mungkin kita akan adakan mesyuarat bersama tiga parti dalam masa terdekat," katanya kepada media selepas menyampaikan Skim Bantuan Pelajar di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Umno akhirnya menjelaskan polemik penyertaan Bersatu apabila mengesahkan telah menghantar jemputan kepada parti itu untuk menyertai gabungan yang diasaskan bersama PAS.

Perkara itu disahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Twitter, dengan mengatakan surat itu ditandatangani olehnya dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Zahid juga berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh timbalan presiden Umno dan PAS.

Semalam, Setiausaha Bersama Sekretariat MN Annuar Musa memaklumkan surat balas Bersatu diterima pada 18 Ogos lalu.

Mengulas mengenai kenyataan sebelum ini bahawa PAS menyertai Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin menjelaskan peranan PAS hanyalah sebagai parti penaja.

Katanya, setakat ini belum rasmi parti yang menjadi anggota komponen gabungan itu memandangkan ia belum berdaftar secara rasmi.

"Kita bukan menyertai, tapi untuk tubuhkan satu parti perlu ada penaja dan PAS adalah salah satu daripada penaja. Belum secara rasminya lagi siapa dalam PN.

"Satu-satu pakatan boleh didaftarkan atau tidak, tetapi kalau nak sertai pilihan raya ia perlu didaftarkan. Kalau tak, tidak boleh pakai logo macam PH. Masa PRU14 PH tak didaftarkan, jadi tak boleh masuk atas nama PH, maka masuk bawah PKR

"Kalau PRU15 kita nak guna (logo) PN, maka PN perlu daftar dulu, begitu juga dengan MN," katanya sambil menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan.

Urusan pendaftaran PN kini sedang berjalan namun dilaporkan terdapat isu teknikal yang perlu diselesaikan.

Lihat Komen
ADS