Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes saman peguam mahu tutup sekolah Cina 2 Nov
Diterbitkan:  Oct 21, 2020 1:23 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 2 Nov depan untuk pengurusan kes permohonan seorang peguam untuk menarik balik samannya bagi mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Abdul Rahim Sinwan berkata, pendengaran kes permohonan anak guamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang berkuat kuasa 14 Okt sehingga 27 Okt ini.

“Berdasarkan e-mel yang diterima daripada pihak mahkamah pada 14 Okt lepas, pendengaran yang telah ditetapkan hari ini (21 Okt) telah ditangguh dan dilapangkan.

“Pengurusan kes telah ditetapkan pada 2 Nov di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Puan Nor ‘Aqilah Abdul Halim, jam 9 pagi,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada Januari lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Peguam itu menamakan kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan sebagai defendan.

Mohd Khairul Azam kemudian memohon untuk menarik balik samannya atas alasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia sudah memfailkan saman sama.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil bagaimanapun membantah permohonan peguam itu untuk menarik balik samannya atas alasan beliau memfailkannya demi mendapatkan publisiti.

Tiga kumpulan itu merupakan antara 14 parti politik dan organisasi yang dibenarkan oleh Hakim Datuk Nordin Hassan untuk mencelah dalam saman itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS