Malaysiakini
BERITA

Belanjawan 2021: Muhyiddin seru MP sokongan dwiparti

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Okt 2020, 10:04 pagi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini, Muhyiddin berkata bahawa belanjawan akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, 3 industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 memulihkan ekonomi negara.

"Saya berharap, semua ahli parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

"Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

"Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang," katanya.

Ahi parlimen pembangkang sebelum ini menggesa Muhyiddin agar mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021.

Antaranya, veteran DAP Lim Kit Siang yang menyarankan perjanjian "keyakinan dan pembekalan." (confidence-and-supply)

Dalam sistem parlimen Westminster perjanjian "keyakinan dan pembekalan" bermaksud sesebuah parti itu atau ahli palimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut atau pun mengecualikan diri.

Ini selepas timbul desas-desus yang mempersoalkan mengenai majoriti sokongan kepada Muhyiddin di parlimen.

Sementara itu, Muhyiddin berkata peruntukan dalam bajet turut mengambil kira rintihan lebih 800,000 warga Malaysia yang telah hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun ini.

"Dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat," katanya.

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diizinkan mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 bagi mengurangkan kesulitan kewangan yang mendesak.

Muhyiddin, bagaimanapun, sebelum ini berkata sukar untuk kerajaan menimbangkan perkara berkenaan, walaupun sedang memperhatikan keperluan rakyat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan