Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Aktivis dan ahli politik mempersoalkan pelantikan wakil rakyat Arau Shahidan Kassim sebagai anggota jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) berkenaan hal ehwal wanita dan kanak-kanak dan pembangunan sosial.

Bantahan itu mengambil kira kes mahkamah pada Oktober 2018 apabila ahli politik Umno itu diheret ke mahkamah atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan 15 tahun.

Shahidan menafikan dakwaan itu.

Dia juga dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas pihak pendakwaan tidak berhajat meneruskan kes kerana mangsa tidak mahu disoal dan tidak mahu meneruskan kes.

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Lanang Alice Lau berkata Shahidan juga sebelum ini beberapa kali menentang penubuhan jawatankuasa itu di peringkat jawatankuasa dewan.

“Parti dia lantik dia ke PSC. Saya tak faham apa yang mereka fikir,” kata Lau yang turut mengganggotai jawatankuasa itu.

Alice Lau 

Jawarankuasa dwipartisan itu semalam melantik anggota parlimen Pengerang Azalina Othman sebagai pengerusinya.

Anggota lain jawatankuasa itu ialah Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan), Che Alias Hamid (PAS-Kemaman), Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).

‘Perolok’ fungsi jawatankuasa - Hannah Yeoh

Sementara itu, bekas timbalan menteri wanita Hannah Yeoh turut mempersoalkan lantikan Shahidan susulan kes mahkamah sebelum ini.

“Ini yang terbaik Perikatan Nasional boleh tawarkan untuk jawatankuasa pilihan khas parlimen ini?” soalnya.

Yeoh turut menyifatkan pelantikan itu seperti “memperolokkan” fungsi jawatankuasa itu untuk melindungi kanak-kanak.

Hannah Yeoh 

Yeoh juga berkata lebih ramai anggota parlimen pembangkang patut dilantik ke jawatankuasa itu, selaras dengan komposisi semasa Dewan Rakyat.

Aktivis kanak-kanak Syed Azmi Alhabshee pula mempersoalkan langkah melantik seorang yang pernah didakwa "mencabul kanak-kanak".

“Macam mana seseorang yang pernah di tuduh mencabul kanak-kanak masuk dalam senarai ini?

“Tolonglah gantikannya dengan anggota perempuan...Ramai calon wanita dalam BN yang layak,” katanya di Facebook.

Dia bagaimanapun tidak merujuk sebarang nama secara khusus dalam hantaran itu.

Malaysiakini sudah menghubungi Shahidan dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan sedang menunggu maklum balas mereka dalam isu ini.

 [Baca berita asal]

ADS