Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kira-kira 100 penyokong Undi18 berhimpun secara aman di hadapan parlimen hari ini untuk menuntut hak belia untuk mengundi pemimpin yang akan menentukan masa depan negara.

Bantahan ini ketika spekulasi mengatakan pilihan raya umum bakal berlangsung tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi memimpin perarakan dari Padang Merbok dan kemudian berdemonstrasi secara duduk bantah beberapa ratus meter dari pintu parlimen.

Mereka bertafakur secara simbolik selama 18 minit.

Bercakap kepada hadirin, Amir (gambar, bawah) berkata mereka memilih untuk datang ke parlimen dan bukannya pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya, kerana Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia pengundian pada bulan Julai 2019.

Seorang wakil sekretariat Tuntut Undi18, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal, membacakan kenyataan kumpulan itu, diikuti dengan gesaan serupa daripada kumpulan penyokong termasuk Pemuda PH dan Mahasiswa Harapan.

"Penangguhan selama lebih dari 15 bulan ini tidak masuk akal dan tidak mencerminkan komitmen pihak berkuasa untuk memberikan hak untuk mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun.

"Rakyat Malaysia, dan anak muda khususnya, sangat menentang keputusan ini kerana ia hak semua orang dewasa untuk mengundi dalam pilihan raya memandangkan ini adalah hak asasi manusia dalam demokrasi di seluruh dunia," katana.

"Apa yang menghalang SPR melaksanakan Undi18?

"Di mana suara kami sebagai anak muda yang ingin membantu membentuk masa depan negara," soal Nurul Rifayah, aktivis dan duta perpaduan NGO Projek 57.

Wakil sekretariat Tuntut Undi18, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal.

Selain menurunkan usia mengundi, kumpulan ini juga menuntut menerapkan sistem pendaftaran pengundi automatik setelah mencapai usia 18 tahun.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata sokongan terhadap tuntutan Undi18 bukan hanya daripada golongan belia, tetapi juga warga dewasa yang hadir bersolidariti dalam tunjuk perasaan itu.

"Ini adalah gerakan solidariti yang melangkau hadangan politik, kaum, agama, usia [...] dari mereka yang berumur 18 tahun ke usia 30an, 40an, 50an dan 60an.

"Ini tanda bahawa tuntutan kita hari ini adalah tuntutan serius yang melepasi kepentingan peribadi," kata ketua Pemuda Amanah.

"Ini (hak mengundi) bukan hak istimewa tetapi hak yang wajib diberikan oleh kerajaan," tambah Shazni (gambar, bawah).

Perwakilan Kumpulan Undi18, Tharma Pillai pula berkata, SPR dan kerajaan kelihatan memainkan permainan menuding jari sesama sendiri atas penundaan tersebut.

Katanya, ini mengorbankan anak muda yang ingin menggunakan hak mereka untuk mengundi.

"Di mana undi kami? ... kami tidak main-main dengan kamu," katanya.

Tuntutan mereka berikutan pengumuman SPR bahawa sistem baru itu hanya akan siap dilaksanakan pada September tahun depan, walaupun pindaan perlembagaan telah diwartakan sejak 2019.

SPR mengumumkan pada 25 Mac bahawa penurunan usia mengundi ditunda ke tahun depan, walaupun Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata Undi18 berada di landasan untuk pelaksanaan pada Julai tahun ini.

Pilihan raya umum ke-15 disebut-sebut akan diadakan pada bulan Ogos ketika proklamasi darurat berakhir.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli (gambar, atas) dalam ucapan berapi-api yang menuntut parlimen untuk bersidang semula, meratapi "kematian demokrasi" dengan batu nisan replika.

"Kami membawa 'batu nisan' pada hari ini untuk menandakan kematian demokrasi di Malaysia.

"Pertama, mereka enggan mengadakan sidang parlimen, dan kedua mereka menghina Perlembagaan Persekutuan dengan menafikan anak muda berusia 18 dan ke atas untuk mengundi," katanya.

Sebilangan besar penunjuk perasaan membawa plakad membantah keputusan itu, termasuk menunjukkan kanak-kanak berusia 18 tahun dibenarkan untuk berkahwin tetapi mengundi tidak boleh.

Antara ahli politik yang datang untuk menunjukkan sokongan mereka termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan pemimpin PKR Tian Chua, ketua Pemuda DAP Howard Lee, Adun Ketari dari DAP Young Shefura Othman, bekas menteri pendidikan yang juga MP Simpang Renggam Maszlee Malik, ketua penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husammudin dan veteran PSM S Arulchelvan.

Tunjuk perasaan itu bermula sekitar pukul 2.30 petang dengan kehadiran pasukan polis yang tidak ramai.

Sukarelawan Amanah membantu mengawal pergerakan hadirin dan memastikan pematuhan SOP Covid-19 seperti penjarakan sosial.

Selepas berhimpun, penunjuk perasaan bersurai secara aman sejam kemudian.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS