Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gagal tangguh prosiding rayuan kes SRC International

Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran rayuannya terhadap sabitan bersalah dan hukuman dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

Justeru Mahkamah Rayuan meneruskan pendengaran permohonan tersebut hari ini.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan setelah peguam Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan permohonan itu.

Shafee memohon penangguhan sebulan sementara menunggu keputusan pemohonan Najib di mahkamah di Amerika Syarikat dan Singapura.

Permohonan di Amerika Syarikat berkaitan tuntutan Najib untuk mendapatkan dokumen dan bukti yang diperlukan untuk pembelaannya di Malaysia.

"Kami putuskan untuk teruskan (pendengaran hari ini)," kata Abdul Karim ketika menyampaikan keputusan sebulat suara tersebut.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

Ketika di awal perbicaraan, peguam Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan penangguhan selama sebulan.

Dia berkata ia agar pihaknya mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan bukti daripada pihak Singapura dan Amerika Syarikat yang diperlukan bagi menguatkan rayuan Najib.

Menurut Shafee, tindakan perundangan mereka di mahkamah New York bagi mendapatkan testimoni Goldman Sachs dan bekas pegawainya, Tim Leissner.

Katanya, bukti tersebut antara lain melibatkan dakwaan yang dibayar kepada pegawai 1MDB.

Katanya lagi, bukti di Singapura pula relevan kerana ia melibatkan dakwaan berkaitan 1MDB melibatkan keluarga bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz.

Namun timbalan pendakwa raya V Sithambaran meyuarakan bantahan terhadap permohonan itu.

Dia berkata, pasukan pembelaan Najib perlu menfailkan permohonan bertulis terlebih dahulu memandangkan bukti yang dituntut, seperti disebut Shafee, berada di Amerika Syarikat dan Singapura.

[Baca berita asal]

ADS