Paling Popular
Terkini

Sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan polis Kelantan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu mulai tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata, ia membabitkan 13 lokasi di tujuh daerah terlibat dan empat sekatan di sempadan negeri.

Menurutnya, sekatan jalan raya itu diadakan supaya tidak berlaku rentas daerah dan negeri melainkan mereka yang mempunyai surat kebenaran..

"Sebagaimana yang diputuskan, Kelantan diletakkan di bawah PKP bermula 16 hingga 29 April ini, jadi bermula malam ini kita akan mengadakan sekatan jalan raya bagi membataskan pergerakan.

"Setiap daerah akan diadakan dua atau tiga SJR. Kita juga mengambil pendekatan menutup semua laluan tikus.

"Justeru, kita memohon rakyat Kelantan supaya bersabar memandangkan trend Covid-19 di Kelantan semakin meningkat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Sementara itu Shafien berkata, seramai 500 anggota dan sukarela polis yang bertugas di SJR selain bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu pihaknya juga akan memperketatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan lokasi yang menjalankan perniagaan sempena Ramadan.

"Sejak dua hari Ramadan, kita boleh lihat pematuhan SOP agak kurang baik). Namun kita beruntung sebab Kelantan tiada bazar Ramadan, tetapi mereka masih dibenarkan berniaga di tepi jalan.

"Disebabkan itu saya sudah mengarahkan unit penguatkuasaan supaya memantau dan melihat kepatuhan SOP rakyat di negeri ini.

Pada masa sama kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan operasi.

"Harapan saya dalam kita menyambut Ramadan dan mencari juadah berbuka, marilah kita sama-mata patuhi SOP," katanya.

Lihat Komen
ADS