Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA ADUN | Siasat dakwaan bekas IGP isu lompat parti di Sabah

Pendedahan Hamid Bador semasa hari-hari terakhir menjadi ketua polis negara (KPN) berkenaan dengan rasuah politik dan campur tangan menteri dalam penyusunan pasukan polis amat serius.

Berkenaan dengan rasuah politik, beliau dalam sidang media jelas menyatakan bahawa orang politik "naik private jet daripada sini, mana datang duit, pergi Sabah, tiba-tiba dah seorang mengaku nak lompat".

Berkenaan dengan campur tangan dalam pentadbiran polis, beliau dengan jelas menyatakan, "apabila berlaku perubahan kerajaan dan beliau dilantik sebagai menteri dalam negeri, sejak awal lagi di mesyuarat pertama Suruhanjaya Pasukan Polis ini, beliau mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan siapa yang boleh ditempatkan di sana, di sini, situ".

Kami berpendapat kedua-dua pendedahan besar ini merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Pendedahan tersebut sangat serius dan mesti disiasat oleh autoriti termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakyat berhak menghakimi kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pendedahan tersebut.

Rakyat juga berhak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada PDRM, iaitu untuk memastikan keselamatan dalam negara terpelihara dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, bukannya perkhidmatan untuk tujuan politik parti pemerintah.

Justeru, kami bersama-sama dengan rakyat jelata, khususnya di kawasan yang kami wakili menuntut penyiasatan penuh ke atas pendedahan Hamid dan menuntut kebenaran daripada kerajaan hari ini.

Kami berdua telah membuat laporan polis pada hari ini untuk tujuan tersebut.

Kami masih yakin Malaysia boleh ditadbir dengan lebih baik, tetapi bukan dengan cara kepimpinan sepertimana didedahkan oleh Hamid.

Harapan urus tadbir yang lebih baik tetap ada, tetapi bukan pada kepimpinan negara yang ada sekarang. Harapan itu terletak pada kepimpinan alternatif baharu, oleh generasi yang baharu.


EWON BENEDICK ialah Adun Kadamaian merangkap naib presiden Upko manakala PHOONG JIN ZHE pula berkhidmat sebagai Adun Luyang dan ketua Pemuda DAP Sabah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS