Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff berkata beliau tidak perlu meletakkan jawatan dari Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno semata-mata kerana ahli Umno Kubang Pasu membuat aduan berlakunya politik wang dalam pemilihan perwakilan bahagian berkenaan baru-baru ini.

"Apa perlunya saya letak jawatan. Kalaupun kes itu dirujuk ke panel rayuan nanti, saya hanya perlu mengecualikan diri daripada mendengar rayuan tersebut jika saya rasa saya tidak boleh bersikap adil.

"Macam hakim yang mengendalikan kes di mahkamah juga, mereka tak letak jawatan kalau dihadapkan dengan kes yang mereka punyai kepentingan, memadai sekadar mengecualikan diri daripada kes tersebut," jelasnya.

Osman adalah Timbalan Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Ketua Bahagian berkenaan. Kini Osman hanya ahli biasa di bahagian tersebut.

Bekas Menteri Besar Kedah itu mengulas desakan Datuk Mukhriz Mahathir yang mahu beliau meletak jawatan dari panel tersebut selepas lima ahli Umno Kubang Pasu membuat laporan berlakunya politik wang dan penyelewengan dalam pemilihan perwakilan bahagain berkenaan pada 9 September lalu.

Mukhriz khuatir jika Osman terus berada dalam panel tersebut, ahli-ahli panel yang lain akan tertekan dan akan membuat keputusan yang tidak adil terhadap kelima-lima aduan berkenaan.

Belum dengar kes

Malah, beliau yang dihubungi di rumahnya di Alor Star berkata, soal meletak jawatan atau mengecualikan diri dari mendengar kes berkenaan tidak timbul ketika ini kerana Lembaga Disiplin belumpun mendengar kes tersebut.

Mengikut prosidur Lembaga Disiplin Umno, aduan-aduan berkenaan akan dinilai terlebih dahulu sama ada ada merit untuk disiasat atau tidak. Selepas disiasat dan keputusan dibuat, barulah ia boleh dibawa oleh pengadu atau pihak yang dihukum kepada panel rayuan.

Osman juga menegaskan, tiada siapa boleh mendesaknya meletak jawatan sekarang kerana beliau dilantik oleh pucuk pimpinan Umno.

"Saya dilantik oleh Umno, terpulang kepada Umno untuk tentukan kedudukan saya," ujarnya.

Menyentuh mengenai laporan yang dibuat oleh ahli-ahli Umno Kubang Pasu itu, beliau berkata, sebagai ahli Umno di bahagian bekenaan, mereka berhak untuk membuat laporan atau menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing.

"Saya tidak mengenali merekapun...terpulanglah kepada mereka untuk menggunakan hak yang diberikan oleh parti," tambahnya.

Hadir perjumpaan

Mengenai dakwaan beliau berkempen menentang Dr Mahathir menjelang hari pemilihan berkenaan, Osman mengakui beliau ada menghadiri perjumpaan di Kelab Golf Darul Aman, Jitra, pada malam sebelum pemilihan berlangsung.

"Itu hanya perjumpaan biasa, saya hanya pergi sekejap bertemu ahli-ahli Umno...apa salahnya," ujar beliau.

Dalam pemilihan perwakilan itu Dr Mahathir memperolehi 227 undi di tangga kesembilan dan gagal terpilih sebagai perwakilan bahagian ke perhimpunan agung Umno November ini. Bagaimanapun, anaknya, Datuk Mukhriz terpilih.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh orang dipilih dalam mesyuarat bahagian dan enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.