Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno gesa parlimen bersidang, tak bincang cadangan Mageran

Umno telah menyampaikan hasratnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tadi agar Parlimen kembali bersidang demi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan.

Dalam masa sama, presidennya, Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa dia tidak melihat keperluan untuk penubuhan kerajaan ala penubuhan kerajaan ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai satu keperluan buat masa ini.

Bercakap kepada media selepas selesai menghadap Sultan Abdullah, kata Ahmad Zahid, dalam perbincangan tersebut, dia telah menyampaikan pendirian Umno agar pelaksanaan darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos nanti, selain isu ekonomi yang menjejaskan mata pencarian rakyat.

“[...] Kemudaratannya lebih besar pada negara dan ternyata tanpa darurat pun dahulu kerajaan masih boleh menguruskan isu berkaitan pandemik Covid-19.

“[...] Umno berpendirian parlimen wajar bersidang. Ini bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen kebertanggungjawapan dan semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan pentadbiran negara.”

Katanya, parlimen adalah plaform pentingan untuk membawa suara hati rakyat, terutama berhubung isu seperti moratorium, kenaikan harga barang, bantuan seperti i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0, yang seharusnya tidak hanya memberi manfaat kepada golongan B40, tetapi juga kelas ekonomi lain yang terjejas.

Sidang parlimen kini digantung ekoran pelaksanaan darurat bagi menangani Covid-19 dari 11 Jan hingga 1 Ogos nanti - tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Isu darurat dan parlimen adalah isu yang dibangkitkan oleh rata-rata pemimpin parti yang bertemu Agong sejak dua hari lalu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan dia ada mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran pada tahun 1969 semasa menghadap Agong semalam.

Cadangan pengerusi penaja parti Pejuang itu ditolak PH hari ini, sebaliknya mereka menggesa penguatkuasaan darurat ditamatkan dan parlimen kembali bersidang.

Kata mereka, penyelesaian kepada masalah rakyat akibat isu Covid-19 dan masalah politik, adalah melalui jalan demokrasi yang berfungsi dengan baik sebagai ruang terbaik mendengar suara rakyat.

Ditanya apakah isu Mageran turut turut timbul dalam pertemuannya dengan Agong, Ahmad Zahid menafikannya.

“Kita tak bincangkan soal itu, dan saya rasakan bahawa perkara itu adalah salah satu daripada keadaan norma yang di luar daripada apa yang sedia ada, kerana darurat patutnya (sudah) mencakupi soal-soal itu (yang dikatakan boleh ditangani Mageran).

“Tapi ia telah digunakan utk mencapai tujuan lain,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS