Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sokong penuh Ismail, ikrar bantu 'kerajaan PN'
Diterbitkan:  Aug 21, 2021 9:41 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan memberikan sokongan penuh kepada penggantinya, Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi catatan di media sosial selepas menerima kunjungan Ismail hari ini, Muhyiddin berkata dia membantu "kerajaan Perikatan Nasional" untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai perdana menteri.

"Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negar," kata presiden Bersatu itu.

Terdahulu, Ismail yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke sembilan hari ini melakukan kunjungan ke kediaman Muhyiddin di Kuala Lumpur.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri setelah mendapat sokongan 114 ahli parlimen.

Muhyiddin sebelum ini berkata sokongan 50 anggota parlimen PN kepada Ismail adalah bersyarat dengan memastikan anggota kabinetnya bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Ini dilihat sebagai usaha untuk mengekang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah - dan beberapa penyokongnya dilantik ke jawatan kabinet.

Kem Zahid dalam Umno memainkan peranan penting dalam menumbangkan Presiden Bersatu itu daripada kerusi perdana menteri.

Ini juga merupakan kali kedua Muhyiddin menggelarkan kerajaan pimpinan Ismail sebagai kerajaan PN dan bukannya BN.

Dengan sokongan 50 ahli parlimen, PN merupakan rakan kongsi terbesar dalam kerajaan yang dipimpin Ismail. 

BN sendiri hanya memiliki 42 ahli parlimen.

Parti Muhyiddin, Bersatu dijangka akan diberikan jawatan timbalan perdana menteri.

Anggota majlis tertinggi Bersatu, Eddin Syazlee Shith juga berkata terdapat cadangan untuk melantik Muhyiddin sebagai menteri mentor semasa mesyuarat dengan BN sebelum ini, namun hal itu belum dimuktamadkan.

Lihat Komen
ADS