Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Kenapa SPRM, BNM tak siasat individu disebut Kertas Pandora?
Diterbitkan:  Oct 16, 2021 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan Kertas Pandora.

Dia mendakwa SPRM "degil menolak" untuk membuat siasatan walaupun dengan desakan daripada ahli parlimen pembangkang.

“Ini telah menimbulkan kemusykilan dan keraguan masyarakat mengenai kredibiliti SPRM dan juga mengiakan kecurigaan bahawa SPRM akan menutup mata apabila ahli politik yang masih aktif dan menyokong kerajaan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merujuk kedudukan Malaysia dalam senarai aliran keluar wang haram negara-negara membangun oleh kumpulan pemikir Global Financial Integrity (GFI), ahli parlimen Bagan itu turut mempersoalkan mengapa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyiasat hal berkenaan.

“Oleh kerana kurangnya tindakan SPRM terhadap pengubahan wang haram oleh ahli politik prokerajaan, BNM dilihat sebagai satu-satunya institusi yang tinggal yang dapat bertindak terhadap aliran keluar wang haram. [...]

“Malangnya BNM nampaknya seakan mengikut langkah SPRM dan terus berdiam diri terhadap skandal kewangan ini,” kata setiausaha agung DAP itu lagi.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Maklumat itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di tempat perlindungan cukai.

Warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.


Menteri, ahli politik dan hartawan Malaysia didedah jadi pemilik syarikat pesisir


Mereka berkata bahawa urusan dengan entiti luar pesisir - termasuk memiliki atau menjadi ahli lembaga pengarah syarikat - yang dijalankan tidak melanggar undang-undang dan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar untuk sebarang aset atau pendapatan yang berkaitan dengan syarikat luar pesisir berkenaan.

Mengulas lanjut, Guan Eng menggesa agar mereka yang didapati bersalah dihukum demi kepentingan negara.

“Malaysia boleh melakukannya untuk mengembalikan keyakinan masyarakat dan kedudukan kita dalam indeks peraturan undang-undang dengan bertindak dan menghukum mereka yang terlibat serta mengesyorkan langkah-langkah ketat untuk mencegah aliran wang haram daripada Malaysia dan bagaimana untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.”

Siasatan parlimen diperlukan

Sementara itu, bapa kepada Guan Eng yang juga ahli parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa agar siasatan peringkat parlimen dilakukan terhadap pendedahan Kertas Pandora.

Dalam kenyataan hari ini, dia mendesak Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang baru untuk tujuan itu.

“PSC ini harus menyiasat sedalam mana kewangan rahsia telah menyusup ke dalam politik Malaysia - dan menawarkan syor (tentang) apa yang kerajaan harus lakukan untuk menghentikan penyalahgunaan kewangan luar pesisir.

Lim Kit Siang

“Ia patut diberikan masa selama enam bulan untuk melakukan kerjanya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi wajar mengambil inisiatif untuk mengemukakan usul untuk menubuhkan PSC sedemikian tentang Kertas Pandora,” katanya.

Gesaan Kit Siang itu hadir selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersikap terbuka untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat dalam pendedahan tersebut, sekiranya terdapat bukti salah laku berhubung pendedahan tersebut.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim beberapa kali berdepan jalan buntu apabila cuba membawa usul supaya sidang Dewan Rakyat membincangkan isu Kertas Pandora.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menolak usul Anwar atas sebab ia tidak perlu disegerakan untuk diperdebatkan, sebaliknya mencadangkan ia harus diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Ekonomi), ataupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)

Hari ini, Kit Siang menggunakan cadangan Azhar itu sebagai salah satu daripada empat alasannya dalam menggesa penubuhan PSC.

Dia menegaskan bahawa peraturan mesyuarat Dewan Rakyat harus dipinda bagi membolehkan PSC menjalankan pendengaran awam.

Dewan Rakyat baru ditangguhkan dan akan bersidang semula pada 25 Oktober. 

Lihat Komen
ADS